pahangdaily pahangdaily Author
Title: Warga Emas Perlu RM15,000 Untuk Bedah Lengan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Seorang warga emas memerlukan sejumlah RM15,000 bagi menampung kos pembedahan lengan kanannya yang membengkak seberat lima kilo...

KUANTAN: Seorang warga emas memerlukan sejumlah RM15,000 bagi menampung kos pembedahan lengan kanannya yang membengkak seberat lima kilogram (kg).

Mohamed Hashim, 62, berkata, lengannya mula membengkak akibat kesan daripada suntikan dialisis yang dibuat sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, dia mengidap penyakit buah pinggang kronik dan jantung sejak beberapa tahun lalu.

“Bengkak pada lengan pernah dibedah pada tahun 2013 tetapi kembali membengkak sejak setahun lalu.

“Doktor nasihatkan supaya dibedah sekali lagi namun saya tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian,”katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya anjuran Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Pahang (BAKKISS), di De Rhu Resort, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh.

Mohamed berkata, dia terpaksa melakukan dialisis sempat kali sehari dengan bantuan isteri, Salmiah Ali, 63, di rumahnya di Tanah Putih Baru.

Katanya,  keadaan lengannya yang membengkak membuatkan dia sukar untuk tidur kerana rasa berdenyut yang menyakitkan.

“Dulu saya buat macam-macam kerja termasuk buruh, jadi tak ada banyak simpanan. Lagipun sejak saya sakit buah pinggang, banyak duit dihabiskan untuk dialisis.

“Buat masa ini saya bergantung pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) berjumlah RM300,” katanya.

Mohamed turut melahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Bakkiss yang menghulurkan sumbangan kepadanya.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohamed dan berharap ada pihak yang sudi membantunya menanggung kos pembedahan yang diperlukan.

Pada majlis itu, seramai 100 anak yatim menerima duit raya yang disampaikan Bakkiss.

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Mohamed Hashim di nombor 156012218221 atau menghubunginya di talian 012-751 8269. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top