pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kejadian Letupan Movida, Polis Sahkan IS Dalang
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara mengesahkan kejadian letupan di kelab malam Movida, Puchong 28 Jun lalu didalangi pengganas IS. Dala...
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara mengesahkan kejadian letupan di kelab malam Movida, Puchong 28 Jun lalu didalangi pengganas IS.
Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata 15 orang yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas itu ditahan selepas siasatan terhadap insiden itu.
“Sejumlah 7 tangkapan di Kedah, 4 di Selangor, 2 di Kuala Lumpur, dan 1 di Melaka dan Pulau Pinang,” katanya. Semua yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 52 tahun.
Menurut Khalid, dua yang ditahan disyaki ada kaitan langsung dalam serangan yang menyebabkan lapan orang tercedera akibat letupan bom tangan dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.15 pagi 28 Jun.
“Kita dapati kedua-dua mereka ini dapat arahan terus dari warga kita di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi yang telah arahkan mereka ini lancarkan serangan-serangan di Malaysia, terhadap pemimpin kanan kerajaan, pemimpin kanan polis, dan hakim-hakim kerana ketiga kumpulan ini halang kegiatan mereka,” jelas beliau.
Menurut Khalid, bom tangan yang digunakan dalam serangan itu diperoleh daripada negara jiran.
Siasatan juga membawa kepada penangkapan dua anggota polis berpangkat rendah yang bertugas di Kedah dan Pulau Pinang.
“Seorang ditahan kerana disyaki merancang membuat samun sebagai dana untuk sel IS di sini, manakala seorang lagi kerana memberi perlindungan kepada ahli IS,” katanya.
Semua yang ditahan disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Dua lagi individu – Md Saifuddin Muji daripada Rengit, Johor dan Jasanizam Rosni daripada Batu Pahat dalam buruan pihak berkuasa.
Berikutan serangan fizikal pertama IS di negara ini, polis telah meningkatkan usaha bagi menghalang ia berulang dan terus menahan ahli kumpulan pengganas itu.
“15 yang kita tahan ini dipercayai terlibat atau telah terima arahan untuk lancar serangan kepada pihak-pihak yang saya sebut serta pusat hiburan, kononnya tempat-tempat ini tidak Islamik.
“Saya menyeru orang ramai agar terus beri kerjasama untuk pastikan IS tidak mudah jalankan aktiviti mereka,” kata Khalid.
Beliau juga meminta pusat-pusat hiburan supaya beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top