pahangdaily pahangdaily Author
Title: ASWAJA: Majlis Fatwa Perlu Perjelas 'Kafir Harbi'
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan dan agensi agama sewajarnya perjelaskan ‘kafir harbi’ supaya masyarakat dicerahkan dengan takrif...
PETALING JAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan dan agensi agama sewajarnya perjelaskan ‘kafir harbi’ supaya masyarakat dicerahkan dengan takrifan yang jelas.
Ini kerana ketidakfahaman istilah ‘kafir harbi’ telah membawa kepada kenyataan-kenyataan yang menunjukkan sikap sembrono dan terlebih prasangka terhadap Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
“ASWAJA berpuas hati dengan penjelasan yang berikan oleh mufti dan kenyataan mengenai kafir harbi tidak ada cacat celanya,” kata Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin, yang bertemu Abdul Rahman bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya.
Penjelasan yang diterimanya, menurut Zamihan, dibuat mengikut nas dan kitab ulama.
“Ahli politik, sarjana dan agamawan seharusnya ‘tabayyun’ (mencari penjelasan) terlebih dahulu sebelum membuat ulasan bebas menerusi berita akhbar dan media yang masing-masing mempunyai motif tersendiri,” kata Zamihan, yang mengatakan isu ini dimanipulasikan oleh segelintir agamawan dan sarjana “terlajak ulas” dan mengaitkan kenyataan mufti itu dengan keganasan.
Dalam kenyataannya malam tadi, Zamihan tidak menafikan istilah harbi bermaksud memerangi dan diperangi.
“Namun, jangan sempitkan tafsiran ini dengan minda yang cetek. Islam mengajar umatnya untuk tidak memerangi mana-mana pihak kecuali sekiranya Islam itu diperangi maka wajib umat Islam mempertahankannya,” tegas Zamihan.
Kontroversi kafir harbi mendorong Jemaah Menteri mengeluarkan kenyataan semalam bagi menjelaskan kenyataan Abdul Rahman. Pejabat Perdana Menteri menjelaskan mufti bermaksud golongan kafir harbi wajib ditentang dan bukannya diperangi.
“Isu ini telah menimbulkan kontroversi kerana ada pihak yang cuba menyeleweng kenyataan berkenaan dengan menggunakan istilah ‘diperangi’”, kata Pejabat Perdana Menteri.
Sebelum itu, kumpulan profesional Islam membidas penggunaan label “kafir harbi” terhadap rakyat bukan Islam, dengan berkata ia istilah lapuk di zaman moden kecuali oleh kumpulan pengganas seperti IS dan Boko Haram.
“Ramai sarjana semasa Islam, seperti Muhammad Abu Zahrah, Abdullah Bayyah, Yusuf Qaradawi, Wahbah al-Zuhayli, Fahmi Huwaidi dan Muhammad Emarah Syakh berpendapat kategori kafir harbi dan kafir dhimmi tidak lagi relevan dan terpakai dalam kerangka sosio-politik zaman moden hari ini,” kata Forum Profesional Islam (MPF).
Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mengambil pendirian rakyat bukan Islam tidak boleh dikelaskan sebagai kafir harbi selagi mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang Malaysia. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top