pahangdaily pahangdaily Author
Title: Adnan: Bauksit, Pengusaha Perlu Tanggung Kos Bina Jalan Khas
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memutuskan kos pembinaan jalan khas bagi urusan pengangkutan bauksit dari lombong di Bukit Goh di sini ...

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memutuskan kos pembinaan jalan khas bagi urusan pengangkutan bauksit dari lombong di Bukit Goh di sini ke Pelabuhan Kuantan ditanggung oleh pengusaha, pelombong dan operator bahan mineral itu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, berdasarkan taklimat oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG), rancangan pembinaan jalan baharu itu masih berjalan dan akan disiapkan oleh pihak berkenaan. 

"Ini (kos jalan baharu) sesama mereka, bukan kerajaan negeri. Kita nak buat bagaimana kerana royalti dahulu pun tak dibayar. Sekarang kita buat peraturan baharu nak masuk pelabuhan mesti bayar royalti dahulu," katanya. 

Adnan berkata demikian selepas melepaskan 1,000 peserta #kayuhansehatisejiwa2016 yang diadakan sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini yang disertai lebih 5,000 orang awam. 

Beliau diminta mengulas perkembangan pembinaan jalan khas sepanjang lima kilometer yang diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 26 Februari lalu.     

Wan Junaidi semasa itu berkata, pembinaan jalan itu yang dipersetujui kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Kerja Raya bertujuan untuk mengelakkan pencemaran udara di kawasan perumahan. 

Adnan menambah kerajaan negeri juga akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) selepas tamat tempoh moratorium seperti lori mengangkut bauksit mesti mematuhi had laju, bersih, tidak mengancam keselamatan orang lain dan tidak melebihi had muatan. 

"Moratorium ini bagus. Saya sudah ingatkan mereka (pengusaha bauskit) supaya lakukan dengan bersih, berhati-hati dan tidak ancam keselamatan tetapi mereka tidak mahu mendengar nasihat. 

"Selepas tamat moratorium selama lebih kurang sembilan bulan ini, saya percaya mereka telah belajar daripada kesilapan mereka," katanya. 

Pada 30 Jun lalu, Wan Junaidi mengumumkan keputusan Kabinet untuk melanjutkan tempoh moratorium bagi perlombongan bauksit hingga 14 Sept depan, bagi membolehkan usaha mengosongkan stokpil bauksit yang berada di luar Pelabuhan Kuantan dan sekitar Bukit Goh dilakukan. 

Pelanjutan itu merupakan kali ketiga selepas moratorium pertama selama tiga bulan bermula 15 Jan hingga 14 April dilanjutkan untuk kali kedua selama tiga bulan yang sepatutnya berakhir pada 15 Julai lalu. 

Wan Junaidi juga dilaporkan berkata, akan mencadangkan supaya tempoh moratorium dilanjutkan lagi sekiranya stokpil bauksit masih tidak berjaya dikosongkan hingga 14 September ini. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top