pahangdaily pahangdaily Author
Title: Ancaman Terhadap Kehidupan Penyu Di Negara Ini Semakin Serius
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN:  Tahun demi tahun, ancaman terhadap kehidupan penyu di negara ini semakin serius dan berhadapan dengan penurunan kadar populasi...

KUANTAN: Tahun demi tahun, ancaman terhadap kehidupan penyu di negara ini semakin serius dan berhadapan dengan penurunan kadar populasi ketara. Aktiviti manusia merupakan ancaman utama yang menyebabkan kadar populasi haiwan ber­kenaan kian merosot.

Antara ancaman itu adalah pembangunan pantai tidak terkawal, penggunaan jaring un­tuk menangkap ikan seperti pukat tunda dan hanyut serta pencemaran laut yang dilakukan secara berleluasa selain aktiviti perburuan secara haram perubahan iklim dan sampah sarap yang dimakan hidupan marin itu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Ariffin Hassan, 57, berkata, pe­nemuan bangkai-bangkai penyu yang terdampar di pesisiran Pantai Cherating di sini hingga ke Pantai Dungun, Terengganu sejak awal tahun ini menimbulkan kebimbangan penduduk setempat dan pencinta alam sekitar terhadap masa depan haiwan berkenaan.

Katanya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, lebih 20 ekor bangkai reptilia daripada spesies agar itu ditemukan terdampar di sekitar perairan tersebut.

“Jumlah kematian ini adalah yang tertinggi setakat ini dan amat membimbangkan kerana spesies tersesbut kini diancam kepupusan akibat perbuatan manusia selain faktor alam sekitar serta pencemaran.

“Jika dilihat kepada keadaan bangkai penyu itu, ada yang mati dipercayai akibat perbuatan khi­anat manusia kerana terdapat kesan luka pada bahagian perut dan cengkerang seperti diketuk dengan objek keras.

“Kemungkinan haiwan ini tersangkut pada pukat pari yang digunakan nelayan di tengah laut sebelum hanyut dan terdampar di tepi pantai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Ariffin, pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan agar spesies berkenaan dapat dipulihara seterusnya mengelakkan kepupusan.

“Orang ramai juga perlu memainkan peranan membantu usaha kerajaan memulihara dan menyelamat spesies penyu dengan cara melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang seperti menjual telur penyu serta lain-lain.

“Sekiranya usaha berterusan tidak dilakukan, tidak mustahil pada masa akan datang khazanah laut sekitar negara ini akan pupus dan jangan biarkan generasi akan datang hanya mengenali spesies di laut menerusi internet atau majalah,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top