pahangdaily pahangdaily Author
Title: Gagal Asingkan Sisa, SWCorp Pahang Keluar Lima Notis
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA ROMPIN:  Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang telah mengeluarkan lima notis selepas mengenalpas...

KUALA ROMPIN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang telah mengeluarkan lima notis selepas mengenalpasti penduduk yang terlibat tidak melaksanakan pengasingan sisa di punca.

Dua daripada notis itu adalah dari Rompin manakala bakinya dari daerah lain dan tindakan yang dikenakan ke atas mereka yang terlibat diharapkan menjadi pengajaran kepada penduduk lain supaya mematuhi piawaian ditetapkan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nor Afandi Abd Aziz berkata, notis yang dikeluarkan itu tidak sama seperti notis kompuan letak kereta atau seangkatannya sebaliknya ia melalui beberapa peringkat sebelum kompaun dikeluarkan.

Menurutnya, bahagian undang-undang SWCorp akan menentukan wajar atau tidak pesalah dikenakan kompaun selepas kertas siasatan dibuka dan boleh dibawa ke mahkamah jika ingkar untuk membayar.

“Bagi kesalahan pertama kompaun sebanyak RM50 akan dikenakan, kemudian dikuti RM100 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga. Jika gagal membayar bagi kesalahan ketiga, kes boleh dibawa ke mahkamah.

“Ini membuktikan kita serius menangani masalah pengasingan sisa di punca dan berharap penduduk terlibat mengelak melakukan kesalahan. Anggaplah notis yang dikeluarkan setakat ini sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jamuan Ramah Mesra SWCorp Cawangan Rompin di pejabatnya yang turut dihadiri kakitangan Alam Flora Cawangan Rompin.

Dalam pada itu, Afandi turut menegaskan bahawa Standard Of Procedure (SOP) yang digunapakai bagi pengurusan pembersihan kini tidak menyukarkan pekerja.

Katanya, kerjasama yang tinggi antara kakitangan Alam Flora dan SWCorp amat penting dalam memastikan misi bandar serta kawasan terlibat sentiasa berada dalam keadaan bersih.

“Indeks petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan itu bukan menyukarkan sebaliknya membantu mempertingkatkan mutu kerja dan bekerja mengikut piawaian adalah antara matlamat utama SWCorp,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top