pahangdaily pahangdaily Author
Title: Ibrahim Ali: Ahli Politik Jangan Angkuh Dalam Menyerang "Bersatu"
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Datuk Ibrahim Ali mengingatkan ahli politik supaya tidak terlalu angkuh dan memandang rendah keupayaan pihak lain kerana...
PETALING JAYA: Datuk Ibrahim Ali mengingatkan ahli politik supaya tidak terlalu angkuh dan memandang rendah keupayaan pihak lain kerana apa sahaja boleh berlaku pada masa kini.
Presiden Perkasa itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan respon yang dikeluarkan pemimpin politik, ahli akademik dan ilmuan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kalau penubuhan parti Bersatu ini dianggap remeh, tidak memberi kesan pada kepada parti lain, dianggap parti serpihan, tidak dapat bertahan lama atau berkubur selepas PRU14, kenapa perlu dibuat pelbagai andaian dan mengeluarkan berbagai kenyataan serta ulasan di media.
“Sehinggakan nama Bersatu pun mendapat bantahan. Pelbagai alasan dan tekanan sudah mula timbul satu persatu. Banyak pihak berlumba-lumba mahu memberi ulasan sehingga dilihat seperti kumpulan Raja Lawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesal dengan sikap itu, beliau juga berkata soal parti mendapat sokongan rakyat atau tidak juga usah ditimbulkan.
“Sama-sama kita tunggu dan saksikan. Beri mereka ruang dan peluang,” katanya.
Malah, beliau memberi amaran agar tidak merendahkan minda rakyat kerana rakyat lebih tahu apa yang mereka harapkan.
Dalam pada itu, Ibrahim juga menganggap kenyataan yang dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar sebagai rasional.
“Jelas kelihatan matang dan logik. Jauh lebih baik dari ulasan serta pandangan lain waima pandangan ahli akedemik mahu pun tokoh-tokoh politik yang lain,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan akronim ‘Bersatu’ pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Kata Tengku Adnan, perkataan Bersatu pada parti didaftarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu boleh mengelirukan rakyat kerana ia perkataan biasa yang sering digunakan.
Pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri menyerahkan borang permohonan pada RoS bagi pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Muhyiddin berkata Bersatu terbuka kepada semua orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, manakala orang bukan Melayu dialu-alukan sebagai ahli bersekutu.
Parti serpihan UMNO itu turut menyenaraikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top