pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kenali Siapa Pengasas Pasaraya Mydin Mohamed
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
Pengasas Rangkaian Pasaraya Milik Islam yang terbesar di Malaysia, Allahyarham Mydin Mohamed bin Ghulam Hussein (duduk kanan) meningga...


Pengasas Rangkaian Pasaraya Milik Islam yang terbesar di Malaysia, Allahyarham Mydin Mohamed bin Ghulam Hussein (duduk kanan) meninggal dunia jam 5.06 petang Isnin (1 Ogos 2016) pada usia 88 tahun. Jenazah akan dikebumikan pada Rabu (3 Ogos 2016) ini di Tanah Perkuburan Mont Kiara.


Semoga Rohnya Ditempatkan Dikalangan Orang-Orang yang  Beriman. .Aamin..  Al Fatihah..

Kenali Siapa Pengasas Pasaraya Mydin

Pasaraya Mydin bukanlah lagi suatu nama asing di Malaysia, malah syarikat MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. (MYDIN) ini telah pun dicalonkan dan memenangi pelbagai jenis anugerah dari tahun ke tahun. Antaranya, adalah Anugerah Industri Jualan Terbaik Bekalan Fama (PROSES), Asia Pacific Entrepreneurship Awards 2007, CIO Recognition Awards 2006. 

Hampir 60 tahun ini, MYDIN telah melakar sejarah yang gemilang dalam industri keusahawanan. Hal ini kerana MYDIN mampu berkembang dari hanya kedai secara kecil- kecilan dan kini telah menjadi syarikat yang mampu meraih multi bilion RM. MYDIN pada mulanya diasaskan dan diusahakan sendiri oleh usahawan Malaysia yang bernama Mydin Mohamed bin Ghulam Hussein. Beliau adalah keturunan India Muslium dari Kathiawar di Gujerat India dan dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1928. 

Idea penubuhan syarikat ini bermula daripada Encik Ghulam Hussein, iaitu bapa kepada Encik Mydin Mohamed. Bapa kepada Encik Ghulam Hussein, iaitu Encik Jamal merupakan imigran Muslim dari India. Encik Mydin berkahwin Berkahwin dengan isterinya yang merupakan gadis dari India iaitu Rowshan Bhai pada tahun 1949 serta  mempunyai tujuh orang cahaya mata, tiga perempuan dan empat lelaki.  

Setelah bertapak hampir 58 tahun di Malaysia, iaitu bermula dari tahun 1957, MYDIN kini mempunyai lebih daripada 90 cawangan di seluruh Malaysia. MYDIN merupakan antara perniagaan terbesar di Malaysia yang mengusahakan aktiviti peruncitan dan pemborongan.

MYDIN bermula dengan penubuhan kedai kecil-kecilan mereka pada tahun 1918 di Penang oleh Encik Ghulam Hussein. Namun, kedai mereka telah terlibat dengan kebakaran sewaktu Perang Dunia Kedua. Walaupun mereka kehilangan segala aset mereka, namun itu tidak mematahkan semangat kumpulan MYDIN untuk terus merancang strategi perniagaan mereka. 

Pada 1957, putera Encik Ghulam Hussein iaitu Encik Mydin Mohamed membuka kedai kecil berpapan mereka di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan. Kedai mereka dikenali dengan nama Syarikat Mydin Mohamed. Kedai ini dibuka dengan hasil penat lelah duit yang dikumpul sendiri oleh Encik Mydin Mohamed. 



Basikal dijadikan sebagai alat pengangkutan barang dan untuk kegunaan menghantar pesanan kepada pelanggannya yang berdekatan. Sekiranya beliau menerima pesanan dari pelanggan di luar Bandar, beliau akan menghantar pesanan dengan menaiki bas. Setelah perniagaannya mula berkembang sedikit demi sedikit, beliau membuat keputusan untuk membeli sebuah van untuk memudahkannya menyampaikan pesanan dalam kuantiti yang lebih besar. 



Pada ketika itu, Syarikat Mydin Mohamed hanya menjual barang keperluan harian dan juga alat permainan. Berkat rezeki dan pertolongan keluarga, Syarikat Mydin Mohamed berjaya melebarkan perniagaan mereka ke Kuala Terengganu pada 1979. Kemudian, mereka juga memulakan outlet mereka di Lembah Klang di Jalan India pada 1989. 

Setelah itu, MYDIN semakin bertapak kukuh di Malaysia dan berkembang pesat dari semasa ke semasa. Antara rangkaian produk MYDIN termasuklah barang keperluan harian seperti makanan, peralatan elektrik,alat permainan, alat tulis, pinggan mangkuk,barang basah,keperluan muslim,makanan sejuk beku,makanan laut,produk kesihatan, hadiah, hiasan dan gubahan dan pelbagai lagi. 



MYDIN kini diterajui oleh putera kedua Encik Mydin Mohamed, Dato’ Ameer Ali yang berkelulusan Masters in International Business dari Sonoma State University, California. Beliau mula menyertai pengurusan MYDIN pada 1987 setelah hampir 6 tahun berkhidmat dengan Arab Malaysian Merchant Bank.

Usahawan Mydin Mohamed Bin Ghulan Hussein mempunyai banyak ciri – ciri keusahawan pada diri beliau yang boleh dicontohi terutamanya oleh usahawan muda di Malaysia. Kesabaran dan semangat yang tinggi beliau amat memberi impak kepada kejayaan MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. untuk bertapak di Malaysia selama hampir 58 tahun. 

Antara ciri – cirinya adalah :

1, Daya Usaha (Initiative)

Perkembangan pesat perniagaan yang diusahakan oleh Mydin Mohamed Bin Ghulan Hussein seperti pada masa ini mampu terhasil oleh kerana hasil daya usahanya yang seakan tiada tanda noktah. Contohnya, walaupun bermula dengan hanya modal yang kecil untuk menubuhkan kedai kecil berpapan di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan pada 1957. 

Namun, beliau tetap terus terdorong untuk merancang strategi dan memikirkan langkah dan usaha untuk belia mengembangkan perniagaanya. Daya usahanya yang tinggi tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mengumpul modal dan menimba pengalaman baru dalam perniagaannya untuk memantapkan dirinya sebagai seorang usahawan.

Hasilnya, pada 1979, Encik Mydin telah pun membuka cawangan baru yang berpusat di Kuala Terengganu. Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk membuka cawangan keduanya iaitu hampir 22 tahun, namun perniagaan ini terus bergerak maju dan sentiasa berkembang. Daya usaha Encik Mydin diteruskan lagi dengan penubuhan cawangan -cawangan baru MYDIN di Malaysia iaitu di kawasan Lembah Klang di Jalan India pada 1989. 

Hasil berkat daya usaha Encik Mydin, kini wujud lebih daripada 90 cawangan MYDIN di seluruh Malaysia termasuklah 50 cawangan di Selangor, 5 cawangan di Terengganu, 4 cawangan di Melaka, 3 cawangan di Kelantan, 1 cawangan di Putrajaya,8 cawangan di   Kuala Lumpur, 2 cawangan di Pahang, 3 cawangan di Pulau Pinang, 2 cawangan di Negeri Sembilan, 4 cawangan di Johor,4 cawangan di Perak, 1 cawangan di Kedah dan lain – lain. Daya usahanya juga tidak terhad kepada penubuhan cawangan cawangan baru, malah Encik Mydin juga sentiasa mencari peluang untuk menyertai aktiviti keusahawan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.

 Contohnya, pada tahun 2011, MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. telah terlibat dengan Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) yang turut disertai oleh Pasaraya Tesco dan Carrefour. Mydin berperanan untuk memberi latihan dan tunjuk ajar kepada beberapa kedai runcit tradisi yang terpilih dalam program untuk ditransformasikan kepada kedai runcit moden. Selain dapat meluaskan sektor ekonomi negara, langkah ini juga dianggap sebagai daya usaha Encik Mydin untuk memperkukuhkan nama MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. di Malaysia. 

Contoh lain bagi daya usahawan Encik Mydin adalah untuk mengvariasikan model perniagaan di bawah syarikat MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. Bermula dengan perniagaan kecil, kini MYDIN turut mengusahakan 9 jenis perniagaan iaitu pasaraya,emporium, kedai runcit mini, kedai keperluan 24 jam, pasar mini, pasaraya kompleks, pasaraya premium, dan restoran premium. 

Daya usaha ini turut tersemat dalam diri bapa usahawan ini sendiri, iaitu Encik Ghulan Hussein. Pada 1918, kedai kecil yang beliau tubuhkan telah pun dibakar semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun kehilangan segala harta, semangat beliau tidak pernah luntur untuk terus memegang gelaran sebagai seorang usahawan.

2. Mempunyai Pandangan Jauh (Foresight)

Mempunyai pandangan yang jauh dan pemikiran yang bersifat futuristik adalah antara faktor yang membolehkan Encik Mydin berjaya sebagai seorang usahawan. Walaupun bermula dengan wang hasil simpanan sendiri yang terhad, beliau mampu mengembangkan perniagaannya secara berperingkat – peringkat. Ini adalah kerana skop pemikirannya yang luas ke depan yang membolehkannya merancang strategi perniagaan dengan berkesan. 

Maka tidak hairanlah jika syarikat MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. mampu meraih jualan sebanyak RM2.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2012. Selain itu, ciri keusahawanan ini turut dipamerkan oleh Encik Mydin melalui penetapan harga ke atas barang yang dijual. MYDIN amat terkenal dengan harga barangannya yang murah berbanding harga pasaran, namun dalam masa yang sama kualiti barang juga turut diberi perhatian. 

Jadi, tidak hairanlah mengapa MYDIN amat terkenal dengan slogannya “Mengapa bayar lebih? Beli pada harga borong”. Faktor ini amat membantu dalam menarik kepuasan dan kesetiaan pelanggan terutamanya dari golongan individu dan isi rumah yang mahu berjimat cermat. Ini sekaligus memberikan nilai tambah kepada kumpulan MYDIN untuk menjadi pilihan pengguna dan mampu bersaing dengan pesaing terdekatnya seperti Pasaraya Econsave, Tesco, Carefour dan lain-lain. 



Antara contoh lain adalah hasil pandangan yang jauh Encik Mydin mampu menimbulkan idea untuk menvariasikan rangkaian produknya. Pada mulanya, Encik Mydin hanya menjual barang keperluan harian dan alatan permainan di kedai kecilnya. Beliau telah merancang strategi untuk mempelbagaikan jenis produk jualannya apabila perniagaan berkembang kelak. Antara rangkaian produk baharu ialah peralatan elektrik, pinggan mangkuk, alat tulis, aksesori, pakaian dan lain-lain. 

Ini membuktikan bahawa pemikiran Encik Mydin adalah sentiasa maju ke hadapan walaupun pada ketika itu beliau hanyamempunyai modal yang terhad. Ciri ini juga turut dipamerkan oleh putera kedua Encik Mydin, iaitu Datuk Ameer Ali. Usaha beliau untuk mencari dana bagi penubuhan cawangan Mydin di Subang Jaya amat sukar apabila kesemua bank menolak permohonan pinjamannya. 



Hal ini kerana projek ini dianggap amat berisiko kerana lokasi penubuhannya yang terletak hanya bersebelahan dengan pasaraya Giant yang juga turut menjadi pilihan pengguna. Namun kerana pemikiran Datuk Ameer yang yakin dengan perniagaannya dan ganjaran yang akan diterima pada masa akan datang kerana risiko yang diambilnya, beliau terus berazam untuk mendapatkan dana. 



Akhirnya permohonan pinjamannya diluluskan oleh Arab-Malaysian Bank Bhd. Hasilnya, terbukti bahawa jangkaan Datuk Ameer Ali tepat. Hanya dalam tempoh setahun cawangan Mydin di Subang Jaya terpaksa meluaskan kawasan parkir kereta kerana sambutan yang amat menggalakkan dari pelanggan.


3. Muktamad (Decisive)

Sikap muktamad/tegas ini turut ditampilkan pada perwatakan Encik Mydin sepanjang perjalanannya dalam dunia perniagaan. Sebagai contoh, keputusannya yang muktamad untuk mengubah nasib diri dan keluarganya telah memberi impak yang cukup hebat kepada kejayaannya dalam industri perniagaan. 

Bermula dengan bekerja sebagai peniaga pasar malam, beliau mula mengumpul modal sebelum membuka kedainya yang pertama pada 1957. Pada ketika itu, beliau sedar bahawa nasibnya sebagai peniaga pasar malam sentiasa berbeza-beza dari segi keuntungan dan kerugian. Sejak dari itu, beliah berikrar untuk mula mengorak langkahnya sebagai seorang usahawan. 

Pendiriannya yang tegas dan muktamad itu mendorong beliau untuk mengatur strategi perniagaanya. Beliau mula mencari sumber untuk mendapatkan barang pada harga yang murah dan menjualnya semula kepada pengguna akhir juga pada harga yang lebih murah dari harga pasaran. Hasilnya, beliau mula mengimport barang daripada Thailand kerana harganya yang lebih murah dan menjual semula barang itu di Malaysia dengan harga yang lebih murang daripada pesaing. 

Kerana ketegasannya itulah yang membolehkan syarikatnya kini iaitu MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. untuk berpegang teguh kepada slogan mereka iaitu “Mengapa bayar lebih? Beli pada harga borong”. Rata-rata pengguna memilih untuk mengunjungi dan menjadi pelanggan setia MYDIN kerana harga barangnya yang murah dan mempunyai kualiti yang baik. Ketegasan untuk meraih kejayaan yang ada pada diri Encik Mydin ini juga banyak melatih beliau untuk terus mengatur langkah dan tidak berputus asa. 



Contohnya, Encik Mydin mengambil masa selama 22 tahun untuk membuka kedainya yang kedua, iaitu di Lembah Klang yang terletak di Jalan India. Walaupun tempoh itu ternyata amat lama, namun sikap beliau yang muktamad untuk terus mencapai kejayaan membolehkan beliau untuk tidak menghentikan langkahnya sebagai usahawan dalam tempoh 22 tahun itu. 



Ketegasan beliau untuk terus berjuang dibuktikan lagi dengan penubuhan cawangan cawangan Mydin yang baru di sekitar Malaysia apabila beliau mula mempunyai modal yang lebih besar. Selain itu, ketegasan beliau tentang nilai berjimat cermat yang diamalkan olehnya dan keluarga turut menjadi faktor beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya. Walaupun beliau sudah memperolehi kekayaan hasil perniagaanya, beliau tetap tegas dengan sikap berjimat cermat dan juga sentiasa merendah diri. 

Putera dan puterinya sering diingatkan tentang amalan berjimat cermat dan peka akan kos hidup. Ketekadan beliau untuk berjaya juga memberi semangat kepada beliau untuk mempercukupkan ilmu perniagaannya terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaannya sendiri. Beliau mula bekerja dari bawah, iaitu di sebuah kedai runcit milik Mr. Peerbhai.

4. Kesedaran Beretika (Ethical Consciousness)

Walaupun Encik Mydin sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan keuntungan syarikat, namun beliau tidak lupa akan tanggungjawab sosial syarikatnya. Hal ini seiring dengan konsep perniagaannya iaitu eiring dengan konsep perniagaannya ‘daripada masyarakat untuk masyarakat.’ Beliau berpegang teguh dengan slogannya,iaitu untuk menjual barang pada harga borong. 

Penetapan harga ini amat bermakna buat pelanggannya terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Selain itu, syarikat MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. juga turut sama terlibat dalam penubuhan Kedai Rakyat 1 Malaysia(KR1M) dan telah diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menjadi operator/pengedar dalam projek ini. KR1M yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini (tahun 2011) berperanan sebagai medium yang mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli bagi barang keperluan. 



Antara sumbangan syarikat MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. adalah terlibat dalam aktiviti memasang peralatan kedai, bantuan IT untuk sistem jualan, teknik kemahiran dan penjualan, dan juga menyediakan latihan. Selain itu, MYDIN turut menjaga etikanya dalam perniagaan. Hal ini dapat dilihat pada kualiti produk jualan MYDIN. 

Walaupun dijual pada harga borong iaitu harga yang lebih murah berbanding pasaran, namun hal itu tidak menyekat kumpulan MYDIN untuk memantau tahap kualiti produk jualannya. Antara contoh lain nilai etika yang diamalkan oleh pentadbiran syarikat MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. adalah dengan mementingkan label dan status halal produk yang dijual di cawangan MYDIN. 

Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat kepada visi syarikat itu sendiri iaitu “untuk menjadi syarikat pengedar terkemuka di dunia bagi barangan dan perkhidmatan yang halal”. Ini menunjukkan bahawa kumpulan MYDIN prihatin dengan keutamaan penduduk di Malaysia yang didominasi oleh golongan Muslim sebanyak 61.3% (setakat 2010). Kumpulan MYDIN juga menitikberatkan kesedaran beretika dalam pengurusannya dengan menglibatkan kakitangan dalam aktiviti yang dapat menyumbang bakti kepada masyarakat. 

Sebagai contoh, pada tahun 2012, Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) dengan kerjasama MYDIN di Kubang Kerian telah pun menjayakan sebuah program kemanusiaan yang bertemakan ‘kembali ke sekolah’. Melalui program ini, pelajar yang terpilih akan diberi bantuan dari segi kelengkapan persekolahan khususnya bagi anak-anak yatim miskin dan anak-anak golongan fakir miskin di kawasan luar bandar. 

Menurut Utusan Malaysia, Presiden IAM iaitu Zawahir Abdullah sangat menghargai kerjasama MYDIN atas layanan istimewa yang diberikan. MYDIN juga pernah memberi sumbangan iaitu sebuah van dan kelengkapan pengurusan jenazah kepada masjid Kampung Surau Panjang. Terbaru, MYDIN turut terlibat untuk memberi sumbangan kepada mangsa banjir 2014 melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Bencana Banjir dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

5. Integriti dan Kebolehpercayaan (Integrity and Reliability)

Sikap berintegriti dan boleh dipercayai yang wujud dalam diri Encik Mydin turut dititkberatkan dalam pengurusan syarikatnya iaitu MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD. Nilai kejujuran menjadi aspek penting dalam organisasi itu. Sebagai contoh, pernah berlaku penyelewengan wang jualan oleh supervisor di salah sebuah cawangan Mydin. Tindakan disiplin terpaksa diambil oleh kumpulan Mydin iaitu menamatkan perkhidmatan supervisor berkenaan kerana budaya organisasinya yang mementingkan kejujuran.

KESIMPULAN


Kejayaan Syarikat MYDIN Mohamed Holdings Bhd dalm industri keusahawanan ini pastinya tidak akan mampu diraih tanpa ciri keusahawanan yang jitu dalam diri Encik Mydin Mohamed sebagai CEO syarikat tersebut. Antara ciri-ciri keusahawanan tersebut adalah daya usaha, mempunyai pandangan jauh, muktamad dan integriti dan kebolehpercayaan. 



Usahawan muda kini seharusnya menjadikan kejayaan dan ketegasan Encik Mydin dalam meraih peluang dan menghadapi risiko dalam mengembangkan perniagaan. Walaupun dibatasi dengan modal yang terhad, namun kesabaran Encik Mydin membuatkan diri beliau kuat untuk terus bergerak ke hadapan dengan perniagaannya. Hasilnya, beliau mampu mengumpul modal dengan lebih banyak dan mampu menambah lebih banyak outlet perniagaannya dan membeli aset-aset perniagaan yang menelan belanja yang besar.

Sikap keluarga MYDIN yang tidak mengambil jalan pintas untuk mencapai kejayaan patut dijadikan sebagai faktor motivasi untuk semua individu terutama golongan usahawan. Bagi keluarga MYDIN, pengalaman pahit manis yang mereka terima sepanjang menguruskan perniagaan itulah yang banyak mengajar mereka untuk terus kekal kukuh dalam industri ini. Hal ini sangat bersesuaian dengan kuotasi “The only source of knowledge is experience” oleh Albert Enstein. #sumber

Advertisement

Post a Comment

Anonymous said... Tuesday, August 02, 2016 9:18:00 AM

Pendatang boleh berjaya dengan daya usaha . Tak ada tongkat sakti pun..Usahawan melayu bagaimana?

Anonymous said... Tuesday, August 02, 2016 2:05:00 PM

Syabas Mydin kerana telah memberi peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat negara ini. Syabas. Orang India memang telah banyak membuat jasa di negara ini. Tahniah.

 
Top