pahangdaily pahangdaily Author
Title: Masalah Paip Bocor Di Sekitar Sek Keb LKTP Jengka 1 Undang Bahaya
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
BANDAR JENGKA: Penduduk Felda Jengka Satu memohon pihak bertanggungjawab mengambil perhatian serius berkenaan paip bocor yang menjadi pu...

BANDAR JENGKA: Penduduk Felda Jengka Satu memohon pihak bertanggungjawab mengambil perhatian serius berkenaan paip bocor yang menjadi punca air bertakung dan tanah lembap berdekatan Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka Satu, di sini.

Pengawal Keselamatan, Abdul Razak Abu Talib, 48, berkata, isu paip bocor tersebut sudah berlarutan sejak awal tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada tindakan susulan sehingga berlarutan dan mengakibatkan kaki lima jalan serta pinggir sekolah, basah dan lembap.

"Saya khuatir keadaan lebih teruk akan berlaku dan jika ia melibatkan kanak-kanak sekolah, sudah tentu lebih dikesalkan. Sebagai pengawal keselamatan di sini, saya tentu bimbang. Apa akan jadi jika tanah lembap dan basah? Dalam masa sama air terus mengalir di permukaan tanah?

"Kejadian hakisan pernah berlaku di sekolah agama di sini sehingga menyebabkan pagar batu sekolah tersebut runtuh. Bimbang kejadian sama berlaku lagi," katanya ketika ditemui.

Tinjauan mendapati terdapat dua tempat paip bocor yang memerlukan proses baik pulih dengan segera.

Menurut Abdul Razak, sepanjang pengetahuan beliau, sudah ada beberapa pihak seperti Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kesihatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Bekalan Air (JBA) membuat tinjauan ke lokasi tersebut.

"Tetapi belum ada tindakan sampai hari ini (semalam). Hairan juga kenapa belum diperbaiki," katanya.

Penduduk, Ismail Hamzah, 53, yang sudah 20 tahun menetap di Jengka tersebut berkata, ini kejadian paip bocor yang pertama berlaku dan mengambil masa yang terlalu lama untuk dibaik pulih.

Menurutnya, sebelum ini jika ada kebocoran, pihak JKKK menyelesaikannya segera tetapi kali ini, tidak tahu pihak mana yang sepatutnya mengambil tindakan.

"Nak elak air menyembur ke atas, pihak sekolah letakkan batu supaya tak kena murid-murid sekolah yang lalu lalang di pintu utama sekolah ini.

"Keadaan ini pun bahaya juga. Sebab betul-betul tepi jalan di pintu masuk sekolah. Nak buat macam mana. Kalau tidak nanti orang ramai basah. Buat sementara cuma boleh tutup macam itu sahaja. Ada masa kalau tekanan air tinggi memang air akan menyembur," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham Che Mai, 40, juga pengawal keselamatan di sekolah tersebut berharap pihak yang berkaitan tampil membaik pulih keadaan secepat mungkin.

Enggan keadaan itu berterusan, beliau berkata, bahaya bukan sahaja menanti murid-murid sekolah tetapi juga pengguna jalan raya, akibat daripada hakisan tanah dan air yang bertakung ini. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top