pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pelawak Veteran Pak Piee Meninggal Dunia Malam Tadi
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
BALIK PULAU: Pelakon dan pelawak veteran tanah air Shafiee Jaafar atau lebih dikenali sebagai Piee, 85, meninggal dunia di rumah anak p...
BALIK PULAU: Pelakon dan pelawak veteran tanah air Shafiee Jaafar atau lebih dikenali sebagai Piee, 85, meninggal dunia di rumah anak perempuannya di Teluk Bahang, dekat sini pada pukul 9.00 malam tadi akibat sakit tua.
Sahabat akrabnya yang juga penggiat seni, Omar Md Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata beliau mengetahui mengenai kematian Piee setelah dimaklumkan oleh anak perempuan Allahyarham yang dikenali sebagai Subariah.
“Anaknya kini sedang menguruskan jenazahnya dan jenazah dijangka akan dikebumikan esok selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Teluk Bahang,” katanya.
Tinjauan Bernama di kediaman rumah anak Allahyarham mendapati orang ramai terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan Allahyarham mula memenuhi perkarangan rumah itu untuk menziarahi jenazah Piee.
Shapiee dilahirkan pada 9 Jan 1931 dan telah bergiat aktif sebagai pelakon dan pengacara sejak tahun 80-an, selain telah membintangi dalam pelbagai filem tempatan seperti Mami Jarum, Nana Tanjung dan Kongsi.
Sementara itu, Subariah ketika ditemui berkata ayahnya sering memintanya untuk tidak bekerja dan menemaninya di rumah.
Dia yang merupakan anak kelima berkata Allahyarham ditemani anak dan keluarga terdekat semasa menghembuskan nafas terakhir dan ayahnya pergi dengan penuh ketenangan.
“Sebelum ayah meninggal saya ada memberinya air kerana bibirnya sangat kering. Sudah dua tiga hari arwah ayah tidak berselera untuk makan dan tidak boleh bercakap dengan lancar.
Sebagai anak yang paling rapat dengan arwah kehilangan ini amat dirasai namun saya reda dengan pemergiannya,” katanya dalam linangan air mata.
Katanya jenazah ayahnya akan dibawa ke Masjid Teluk Bahang terlebih dahulu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Bahang seperti diminta Allahyarham, selepas solat Jumaat. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top