pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penduduk Mahu Masalah Pencemaran Sungai Nyior Di Selesaikan Segera
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Penduduk di Perumahan Balok Baru menggesa pihak berkuasa menyelesaikan segera masalah pencemaran Sungai Nyior di sini, yang t...

KUANTAN: Penduduk di Perumahan Balok Baru menggesa pihak berkuasa menyelesaikan segera masalah pencemaran Sungai Nyior di sini, yang telah berlarutan sejak enam bulan lalu.  

Pengerusi Kawasan Rukun Tetanggga (KRT) Balok Baru Shaharuddin Mohammad, 46, berkata penduduk sudah tidak mahu lagi menghidu bau busuk dari sungai itu, yang semakin kuat apabila air cetek atau pada waktu malam.

"Setiap kali diadakan mesyuarat penduduk, masalah sungai itu adalah perkara pertama dibangkitkan. Warna air yang hitam tidak begitu meresahkan, namun bau yang seperti air kumbahan yang menjadi rungutan penduduk," katanya baru-baru ini.

Shaharuddin berkata ketiadaan penyelesaian juga menyebabkan ada sebahagian penduduk beranggappan KRT tidak menjalankan tanggungjawab mereka, sedangkan pihaknya telah banyak kali mengemukakan aduan.

Aduan tersebut turut mendapat perhatian media pada April lalu, dan sejak itu beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan telah mengambil sampel dan melakukan ujian ke atas air sungai berkenaan, katanya.

"Tapi kami bukan hanya mahu mereka datang sekadar mengambil sampel. Kami mahu penyelesaian jangka panjang. Dahulu ada orang yang berniaga makanan berhampiran, namun sejak air sungai menjadi busuk, mereka berhenti.

"Penduduk yang berniaga makanan di depan sungai itu pun hanya membuka kedai sehingga pukul 9 pagi, berbanding dahulu iaitu pukul 12 tengah hari atas alasan tiada orang mahu berada lama di kedai ekoran bau busuk," katanya.

Shaharuddin berkata kejadian Sungai Nyior bertukar warna dan busuk adalah kali pertama berlaku sepanjang lebih 30 tahun beliau menetap di Kuantan termasuk 10 tahun di kawasan perumahan itu.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) Ali Akbar Othman berkata penyelesaian segera harus diambil kerana sungai itu telah disahkan sebagai mengandungi bakteria E-coli pada April lalu, hasil analisis JAS.

"Jika disahkan sebagai E-coli, sudah pasti antara puncanya adalah air najis. Kami telah bertanya kepada pakar air dan mereka mendakwa masalah itu boleh berlaku akibat masalah pembetungan yang tidak betul.

"Mungkin ada yang melakukan ubah suai rumah tidak mengikut spesifikasi sehingga mengalirkan air kumbahan ke dalam sungai atau sistem pembetungan sedia ada pecah akibat faktor usia dan perkara ini yang perlu dikenal pasti," katanya.

Ali Akbar juga menolak dakwaan air sungai tersebut tercemar kerana ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa kumbahan atau sisa kimia ke dalam sungai itu menerusi jambatan berhampiran sungai.  

Ini kerana, menurutnya jambatan itu merupakan laluan utama penduduk sekitar untuk ke bandar Kuantan dan kawasan industri Gebeng, menyebabkan tidak mungkin kejadian tersebut tidak dilihat penduduk.

"Sudah pasti jika ada lori berhenti membuang sisa ke dalam sungai akan menimbulkan syak. Jika sekali dua mungkin terlepas, namun perkara ini telah berlanjutan berbulan-bulan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi berkaitan dapat berbincang dan melawat sungai itu secara bersama, supaya tindakan dapat dilakukan secara berkumpulan dan bukannya bersendirian mengikut agensi.

Sementara itu, Pengarah JAS Pahang Rosli Zul berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca pencemaran tersebut dan telah mendapatkan pandangan pakar termasuk pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Maketab Mohamed.

"Kami juga terus membuat pemantauan kualiti air sungai itu. Namun tindakan juga perlu dilakukan beberapa agensi lain untuk tindakan susulan supaya masalah tersebut dapat diselesaikan secara holistik," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top