pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pesta Demokrasi Harus Di Raikan, Demonstrasi Budaya Kita ?
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
‘Demonstrasi bukan budaya kita’, ‘Ini mengancam ketenteraman negara’, ‘Kita ada saluran sah untuk suarakan pendapat’, ‘Haram, haram, h...

‘Demonstrasi bukan budaya kita’, ‘Ini mengancam ketenteraman negara’, ‘Kita ada saluran sah untuk suarakan pendapat’, ‘Haram, haram, haram’, dan lain-lain retorik dan falasi begini biasa kita dengar bukan? Tahun 2016 dan masih ada lagi mentaliti semacam ini.
Mungkin negara pemerintahan kleptokrasi atau aristokrasi lupa kita adalah negara demokrasi berparlimen dan berperlembagaan. Mungkin juga mengalami amnesia bahawa lipatan sejarah negara sejak sebelum merdeka lagi membuktikan kita telah mengamalkannya.
Demonstrasi adalah organ kepada demokrasi itu sendiri. Hak berhimpun ini dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kita juga telah ada Akta Perhimpunan Aman 2012. Kita juga telah pinda Seksyen 15 AUKU.
Cara fikir regresif, restriktif dan mandul dalam faham demokrasi dan politik baru sudah lapuk dan patut dimuziumkan serapinya.
Antara elemen-elemen dalam proses demokrasi semisal piket, memorandum, pilihan raya, parlimen termasuklah demonstrasi diamalkan secara sihat di seluruh negara demokrasi maju sebagai simbol ketamadunan. Demonstrasi adalah salah satu bentuk daripada cara warga mengekspresi hasrat.
Boleh jadi itu cara paling efektif dan termampu bagi marhaen yang tidak punyai kuasa pemerintahan. Parti BN sebagai contoh pabila jadi pembangkang di Penang, Kelantan dan Selangor, bukan sedikit siri demonstrasi atas kerajaan negeri tersebut. Ia proses normal dan tiada benda pelik berkenaannya bukan?
Semboyan BERSIH 5.0 telah dibunyikan pengerusinya. Ia adalah kesinambungan daripada BERSIH 1.0 (2007), BERSIH 2.0: Walk for Democracy (2011), BERSIH 3.0: Duduk Bantah (2012) dan BERSIH 4 (2015).
Gabungan BERSIH diketahui sedari awal penubuhannya bersama 8 tuntutan supaya pilihan raya dan politik adil, bersih dan telus. Ia bersifat ‘apolitical’. Antara reformasi pilihan raya yang signifikan pasca penubuhan BERSIH adalah pelaksanaan dakwat kekal dan peti undi lut sinar.
Pengalaman peribadi, BERSIH 2.0 merupakan pengalaman sulung iaitu ketika aku mula bergelar mahasiswa walaupun pemerhatian awalku sejak di bangku sekolah lagi melalui media-media alternatif ketika itu. Cukup mengujakan sebenarnya sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin kepada isu tanah airnya untuk menyahutnya. Tambahan pula jaminan PDRM sendiri sebagai pemudah cara acara terbaru ini selari peruntukan APA 2012.
Bagi aku, Himpunan BERSIH adalah sebuah himpunan masyarakat sivil yang benar-benar menterjemah semangat satu Malaysia yang rentas kaum, agama, status sosial bahkan fahaman politik kepartian. Ia sebuah ‘Hari Terbuka’, ‘Hari Keluarga’, ‘Hari Riadah’ terbesar untuk rakyat Malaysia.
Seakan sebuah pesta perayaan. Fenomena yang jarang disaksikan pada hari-hari biasa, kita dapat saksikan pada hari tersebut. Sebagai contoh peserta dari luar KL khususnya kawasan pedalaman yang tidak bercampur, mereka mula saling mengenali kaum dan etnik berlainan sebagai satu rumpun bangsa Malaysia. KL sebagai ibu kota saban penganjurannya telah berjaya menjadi ‘ibu’ penyatu rakyat dari timur ke barat, utara ke selatan Malaysia.
Fenomena seperti gerai-gerai makan, serbaneka, pusat beli belah, pengangkutan awam seperti LRT, KTM, Monorail dibanjiri ‘pelanggan kuning’ secara berjemaah benar-benar menggembirakan peniaga yang tidak kedapatan pada hari-hari biasa. Tak menang tangan melayan mereka.
Solat berjemaah di padang lapang dan tepi-tepi jalan itu senario normal. Ibu bapa dan anak-anak sama-sama dengan santai berjalan dan berkelah sambil berkongsi bekalan makanan dengan peserta lain. Para peserta demonstran kutip sampah semasa dan seusai himpunan. Bersama-sama menyanyi lagu-lagu patriotik dan kenegaraan dengan penuh semangat.
Aku sendiri pun ada banyak pengalaman manis bersama kawan baru lain bangsa ketika himpunan. Antara pengalaman yang mengharukan adalah dibantu dengan air, kain dan garam selepas aku ‘dilayankan’ gas pemedih mata sungguh melekat kuat di ingatan. Tersengih sendiri jika mengimbau.
Aku percaya nilai patriotisme dan ketamadunan rakyat Malaysia akan kekal utuh selagi semua pihak tegar menggembleng bahu menangani anasir liar dan songsang yang cuba memisah-misahkan kesatuan dan perpaduan rakyat Malaysia dengan pelbagai polisi dan dasar ‘divide and rule’ orde baru.
Juga ditambah agenda beracun faham perkauman, dan sekterian sempit yang muncul dalam pelbagai bentuk dan bermacam pihak.
Mitos seperti ‘peniaga rugi’, ‘Arab Spring Malaysia’, ‘tumbangkan kerajaan dengan cara tak sah’, ‘bercanggah demokrasi’ dan seangkatannya kekal mitos. Ia bukanlah seperti anti-Suharto atau Anti-Marcos, jauh sekali revolusi ‘Arab Spring’. Terbukti banyak siri demonstrasi penuh etika daripada semua pihak termasuk pihak keselamatan tanpa sebarang provokasi telah berjalan dengan lancar seterusnya berakhir dengan aman. Proses demokrasi melalui demonstrasi mampu dirai jika berjiwa demokrat sejati.
Peribahasa ‘Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’ menggambarkan situasi ini. Akhirnya ia berbalik kepada cara kita memaknai demokrasi itu sendiri dengan progresif dan matang. Tiada apa yang dikatakan sebagai anasir asing dalam amal demonstrasi aman di Malaysia melainkan berniat untuk menubuhkan satu sistem yang bakal menghukum ‘harbi’ dan ‘khawarij’ bagi demonstran.
“Tidak membuat perhimpunan kini bukan lagi pilihan. Rakyat Malaysia tidak lagi boleh berdiam diri,” tegas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah baru-baru ini. Aku tafsirkan kalam ini bahawa tak kira siapa sahaja supaya ayuh bangkit sama-sama bangkit ‘berhimpun’ secara fizikal bagi yang berkemampuan atau melalui wasilah lain untuk menyumbang sesuatu sebagai manifestasi semangat patriotisme yang cintakan bangsa Malaysia dan negara Malaysia untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Pesta demokrasi ini harus diraikan seterusnya memasyarakatkan demonstrasi. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top