pahangdaily pahangdaily Author
Title: PI1M Di Saran Mewujudkan Kluster Khusus Promosi Kawasan Setempat
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
ROMPIN: Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negara disaran mewujudkan kluster khusus untuk mempromosikan sesuatu kawasan di lama...

ROMPIN: Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negara disaran mewujudkan kluster khusus untuk mempromosikan sesuatu kawasan di laman media sosial bagi membantu meningkatkan ekonomi setempat, sekali gus melahirkan usahawan secara dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kluster itu perlu mengenal pasti keunikan dan keistimewaan kawasan setempat bagi menarik perhatian pengguna internet seperti daerah ini yang terkenal dalam sektor pelancong.

“Kluster ini boleh dibangunkan di 400 PI1M seluruh negara dan sudah pasti setiap satunya mempunyai produk khusus yang boleh diketengahkan bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

“Sebagai contoh, di daerah ini saya dimaklumkan ada tiga usahawan menggunakan internet untuk memasarkan produk iaitu bakeri, kraf tangan dan kuih-muih tradisional. Menjadi hasrat kita melahirkan lebih ramai usahawan dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas meras­mikan PI1M Bukit Ibam di sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahussin dan ADUN Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan.

Jailani berkata, kewujudan kluster itu juga selari dengan matlamat untuk menyediakan platform dalam talian bagi mempromosikan aplikasi dan per­khid­matan berasaskan e-Dagang.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhannya terdapat 10 PI1M di daerah ini dan sebuah lagi dalam proses pembinaan di Felda Keratong 6 yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

“PI1M Bukit Ibam juga adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janji kerana perkara ini disentuh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dahulu.

“Saya masih ingat semasa me­lawat perpustakaan desa di sebe­lah pusat ini, saya berjanji akan datang semula untuk me­rasmikan pusat ini apabila siap dan bersyukur dapat menunaikan janji itu,” katanya.

Berhubung kemudahan internet di daerah ini, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dan sedang menyiapkan 37 menara pemancar komunikasi termasuk 12 menara sekitar Bukit Ibam dan bandar Muadzam Shah. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top