pahangdaily pahangdaily Author
Title: Rasuah: Tiga Penjawat Awam, Dua Pengarah Bertaraf 'Datuk' Di Tahan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA:  Tiga penjawat awam, termasuk dua orang berstatus Datuk Seri dan Datuk telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah...

PETALING JAYA: Tiga penjawat awam, termasuk dua orang berstatus Datuk Seri dan Datuk telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi serentak pada Isnin berhubung kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Sejumlah RM13 juta wang dalam simpanan akaun ketiga-tiga penjawat awam itu telah dibekukan. 
Penahanan itu melibatkan seorang pengarah jabatan bergelar Datuk Seri yang bertugas di bahagian pembangunan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT); pengarah negeri sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar Datuk dan seorang pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan di Kota Baru, Kelantan.
mStar Online  difahamkan, SPRM menemui sejumlah wang tunai yang besar dan aset paling tinggi nilainya daripada pegawai kanan PBT berkenaan.
Wang tunai tertinggi pula dirampas dalam satu serbuan di Melaka.
"Datuk Seri terlibat juga didapati memiliki beberapa kondominium mewah melibatkan pelaksanaan projek pembangunan di sekitar ibu negara.
"Pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan di Kelantan pula didapati menyalahgunakan kuasa meluluskan projek kepada syarikat milik ahli keluarga," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan operasi penahanan ketiga-tiga individu terbabit antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang Isnin. 
"Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 50-an," katanya.
Susulan penahanan tersebut, Azam berkata, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta telah dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang yang ditahan. 
Tambahnya, turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk penthouse, banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai diperolehi menerusi hasil rasuah dan penggubahan wang haram. #sumber
"Dalam serbuan secara serentak pada hari ini, SPRM juga turut menjumpai wang tunai lebih kurang RM400,000 termasuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah," ujar Azam.
Menurut Azam, siasatan dibuat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 
"Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka direman di mahkamah majisteret esok," tambah beliau.
Azam berkata, mengikut Akta SPRM, jika mereka disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi. 
Bagi Akta Penggubahan Wang haram, hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta mana yang lebih tinggi. 

Advertisement

Post a Comment

 
Top