pahangdaily pahangdaily Author
Title: Rekod UMNO Masih Cemerlang, Bersatu Akan Terkubur Selepas PRU14
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Parti baharu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja tidak dapat mengambil alih peranan dan perjuangan Umno, mala...
KUALA LUMPUR: Parti baharu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja tidak dapat mengambil alih peranan dan perjuangan Umno, malah ia akan terkubur selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata, tahap kesediaan parti serpihan Umno itu untuk membela nasib rakyat masih menjadi tanda tanya, sedangkan Umno mempunyai rekod cemerlang.
“Memandangkan ia parti baharu, saya tidak yakin mereka boleh ambil alih (peranan) Umno dalam sekelip mata sahaja, kerana pilihan raya berbaki lebih kurang 700 hari sahaja lagi.
“Malahan, Umno mempunyai pengikut tegarnya sendiri yang setia dan tidak rela meninggalkan Umno untuk parti baharu yang dibina atas dasar kekecewaan dan balas dendam itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam laporan akhbar hari ini yang mendakwa parti itu berazam mengambil alih peranan dan perjuangan Umno.
Abdul Halim berkata, parti baharu itu hanya muncul menjelang PRU14 dan akan terkubur selepas pilihan raya nanti, seperti yang terjadi kepada parti serpihan lain sebelum ini, antaranya Semangat 46.
Berbeza dengan Umno yang kini berusia 70 tahun, ia mempunyai rekod cemerlang apabila terus kukuh dan mengutamakan perjuangan membela nasib rakyat walaupun beberapa kali menghadapi pertelingkahan dan salah faham antara pemimpinnya.
“Biasalah jika berlaku pertelingkahan, tetapi ‘track record’ Umno membuktikan ia adalah satu parti yang malar segar merentasi zaman. Jika dibandingkan dengan parti yang tidak sampai berapa hari ditubuhkan itu, mereka tidak boleh meyakinkan mampu memberi apa yang digembar-gemburkan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak berkata, jika Bersatu ingin mengambil alih peranan dan tujuan Umno, mereka perlu mengorak langkah mulai sekarang dan merekrut seramai mungkin ahli.
“Namun, situasi sekarang masih belum nampak isyarat dan tanda parti itu mampu ambil alih peranan Umno. Juga, belum ada tanda penghijrahan besar-besaran oleh anggota Umno untuk bersama parti itu.
“Apakah anggota Umno bersedia menukar parti, itu masih menjadi persoalan besar,” katanya.
Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Bersatu cuba menjadi parti ‘mirip’ Umno semata-mata untuk melawan parti itu pada PRU14 bagi mengelirukan rakyat.
Namun, katanya, parti baharu itu tidak mempunyai matlamat dan hala tuju jelas, di mana keadaan ini berbeza dengan Umno yang ternyata komited menjaga kekuatan masyarakat Melayu.
“Umno dari 1946 membuktikan jasanya, termasuk menaik taraf ekonomi Bumiputera, memperkasakan dasar negara bagi kebaikan Bumiputera dan sebagainya, jadi apa yang Bersatu hendak buat lagi?” soalnya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sahabat N87 Pusat, Datuk Seri Dr Sulaiman Mohamed berkata, kehadiran Bersatu yang lahir atas dasar dendam dan benci serta ingin menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak langsung tidak menggugat parti keramat orang Melayu itu.
“Umno adalah nyawa bangsa Melayu. Melayu kuat kerana Umno…Ia (Bersatu) tiada asas perjuangan yang jitu dan tulen, walaupun mendakwa ingin mengambil alih peranan dan perjuangan Umno,” katanya dalam satu kenyataan.
Sulaiman turut menyeru anggota kelab itu memantau ahli Umno khususnya, bagi mengelakkan mereka menyokong Bersatu dalam diam.
Kelmarin, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan permohonan bagi mendaftar parti baharu itu di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top