pahangdaily pahangdaily Author
Title: Selekoh Sempit, Bahu Jalan Rendah Perlu Di Beri Perhatian
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JENGKA: Pihak berkaitan diminta memberikan perhatian kepada keadaan jalan sepanjang lebih 10 kilometer dari Bandar Pusat menghala ke Je...

JENGKA: Pihak berkaitan diminta memberikan perhatian kepada keadaan jalan sepanjang lebih 10 kilometer dari Bandar Pusat menghala ke Jengka 13 yang didakwa berbahaya dan berisiko menyebabkan kemalangan, khususnya di kawasan selekoh yang sempit.

Difahamkan, bahu jalan di laluan itu juga terlalu rendah dan membahayakan pengguna jalan raya, terutamanya ketika kenderaan berselisih.

Penduduk Jengka 14, Sukaimi A Samah, 62, berkata, dia yang sering menggunakan laluan itu untuk ke Rumpun Makmur sentiasa berhati-hati setiap kali melalui jalan terbabit.

Menurutnya, orang luar yang tidak biasa dengan jalan itu berisiko terlibat kemalangan jika tidak berhati-hati.

“Kenderaan boleh tersasar ke laluan bertentangan atau terbabas ke bahu jalan jika berselisih di situ.

“Permukaan jalan yang tak rata juga boleh menyebabkan kereta melambung jika dipandu laju. Jalan ini pernah diselenggara tapi masalah tidak selesai kerana mereka setakat tampung jalan sahaja.

“Kenderaan boleh tersasar ke laluan bertentangan atau terjatuh ke bahu jalan jika berselisih di laluan berselekoh di situ.

“Harap kali ini pihak berkenaan ambil serius dan segera membaiki keadaan jalan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Imam Jengka 13,  Abd Hamid Imam Awang, 58, berkata, kemalangan kerap berlaku di kawasan terbabit, malah ada yang melibatkan kematian.

“Boleh dikatakan dalam sebulan mesti ada kemalangan termasuk kes-kes kenderaan terbabas sehingga ada penduduk gelar selekoh itu sebagai selekoh Mat Harun, sempena nama seorang mangsa  yang meninggal dunia di situ sekitar tahun 80an.

Katanya, keadaan semakin berbahaya sekiranya hujan dan pada waktu malam, memandangkan tiada sebarang papan tanda amaran atau lampu jalan diletakkan di situ.

Mohd Razali Sajimin, 42, pula berkata, dia yang berulang alik setiap pagi untuk ke tempat kerja juga mengakui laluan itu juga kini semakin sibuk.

“Simpang keluar ke Bandar Pusat pun sudah sesak sekarang. Setiap hari penduduk berdepan risiko mengalami kemalangan apabila melalui selekoh merbahaya ini, jadi kami mohon pihak bertanggungjawab segera ambil perhatian,” katanya.

Menurut Wan Sazli Helmi Wan Husin, 31, jalan itu  merupakan laluan utama menghubung Bandar Pusat Jengka ke Jengka 12, Jengka 13, Jengka 23, Jengka 24 dan beberapa kampung seperti Rumpun Makmur serta jalan alternatif ke Jengka 18 dan Kuala Krau.

Katanya, kenderaan berat khususnya lori sering menggunakan laluan itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top