pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tidak Dapat Sentuh Atau Lihat, Mata Wang Bitcoin Semakin Popular
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Mata wang digital, atau dikenali “cryptocurrency”, masih istilah asing di kalangan masyarakat umum, namun ia berpotensi m...
KUALA LUMPUR: Mata wang digital, atau dikenali “cryptocurrency”, masih istilah asing di kalangan masyarakat umum, namun ia berpotensi menjadi kaedah utama urus niaga masa depan.
Di Malaysia, nilai urusniaga mata wang digital seperti Bitcoin naik mendadak sejak tahun lalu, daripada RM130,000 pada Julai 2015 kepada RM730,000 setakat 16 Julai tahun ini.
“Walaupun mungkin masih disandarkan kepada sistem fiat sedia ada, mata wang kripto atau sekurang-kurangnya pembayaran digital adalah masa hadapan,” kata pengasas Bitcoin Malaysia, Colbert Low.
“Dunia sedang dalam perubahan. Persoalannya sama ada anda dapat menyesuaikan diri atau tidak,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Pengguna aktif yang juga pelopor Bitcoin tempatan Ragunathan Ramankrishnan berkata nilai Bitcoin yang jauh meningkat sejak mula diperkenalkan adalah bukti ia semakin mendapat tempat di seluruh dunia.
“Empat tahun lalu, satu bitcoin hanya berharga RM50. Hari ini nilainya kira-kira RM2,000,” katanya kepada FMT.
Low dan Ragunathan merupakan perunding “cryptocurrency” dan antara pelopor fenomena Bitcoin di negara ini.
Bitcoin adalah aset digital dan sistem pembayaran yang diasaskan seorang individu misteri bernama Satoshi Nakamoto pada 2009.
Melawan teori biasa
Melalui kaedah ini, transaksi dijalankan secara terus antara individu tanpa melibatkan orang tengah iaitu bank, dan setiap transaksi direkodkan dalam sebuah lejar awam yang dinamakan “blockchain”.
Menurut Low, Bitcoin dicipta atas semangat mengenepikan teori ekonomi dan sistem mata wang semasa.
“Mata wang konvensional perlu disandarkan kepada sesuatu. Dolar AS dahulu disandarkan kepada emas, kini wang fiat tidak disandarkan kepada apa-apa. Ada yang menganggapnya sebagai kertas tandas.
“Maka individu yang mencetuskan Bitcoin ini mahu mengenepikan sistem ini. Pada satu sisi ia adalah anarkis dan mendakap semangat ‘anonymous’ zaman sekarang,” katanya.
Pemilik Bitcoin tidak perlu membawa wang tunai ke luar negara, sebaliknya boleh menukarkan bitcoin miliknya dengan mata wang di sana.
Ragunathan berkata, kini sudah banyak negara menggunakan mata wang digital untuk semua transaksi.
“Kerajaan Switzerland misalnya memberikan pengecualian cukai untuk tempoh tertentu kepada sesiapa sahaja yang ingin meneroka atau membangunkan syarikat berkenaan Bitcoin di negara itu,” katanya yang pernah memberi taklimat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung mata wang digital beberapa tahun lalu.
Namun, beliau mengakui Malaysia sendiri agak lambat untuk memutuskan pendirian berhubung perkara ini.
Perubahan sikap Bank Negara
Dua tahun lalu, BNM berkata Bitcoin tidak diiktiraf di negara ini dan mengingatkan semua pihak agar berwaspada dengan risiko penggunaannya.
“Peniaga yang menerima Bitcoin sangat terhad kerana pihak berkuasa masih tiada pendirian jelas tentangnya. Namun semenjak Datuk Muhammad Ibrahim menjadi gabenor, mereka mula meneroka teknologi ini.
“Sudah banyak juga syarikat Bitcoin dari Malaysia dan luar negara berbincang dengan BNM. Tidak lama lagi kajian BNM akan selesai dan kita nantikan apakah perkembangannya,” kata Ragunathan.
Beliau berkata pertemuan pertama komuniti Bitcoin pada 2012 hanya disertai kira-kira 15 orang.
“Sekarang komuniti ini sudah ada lebih 3,000 orang. Kesedaran semakin meningkat. Akhbar pun sudah mula buat laporan, maknanya Bitcoin sudah jadi arus perdana,” katanya.
Low mengulangi mantranya betapa dunia sekarang sedang mengalami perubahan dan ini nasihatnya:
“Dalam hal teknologi ini, tipsnya mudah. Anda lihat tokoh-tokoh pintar seperti Bill Gates, nilai dan ikut langkahnya,” katanya.
Dalam sebuah persidangan industri perkhidmatan kewangan pada 2014, pengasas Microsoft itu dilaporkan berkata transaksi kewangan akhirnya menjadi “digital, sejagat dan hampir percuma.
“Mereka boleh melihat keadaan seribu langkah ke hadapan, dan tahu ke mana dunia ini sedang bergerak. Sebab itu mereka mula membiasakan diri dengan teknologi ini,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top