pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tunku Ismail Sekali Lagi Bertegas Tolak Jawatan Presiden FAM
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR:  Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi bertegas menolak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Ma...

KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi bertegas menolak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun beliau sedia mempertimbangkan tawaran sebagai Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres untuk Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
Tunku Ismail berkata, jawatan Presiden FAM tidak sepatutnya disandang golongan keluarga diraja, atau mereka yang mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mengambil bahagian.
Sebaliknya, tegas Tunku Ismail, calon presiden badan induk itu mestilah seorang yang berkecuali kepada semua negeri dan kelab yang mengambil bahagian untuk mengelakkan gejala rasuah dan sikap pilih kasih.
"Saya tidak setuju menjadi Presiden FAM kerana saya sudah mempunyai JDT (Johor Darul Ta'zim). Akan ada konflik kepentingan kerana saya akan lebih cenderung ke arah negeri saya.
"Seperti yang saya nyatakan berpuluh-puluh kali sebelum ini, kita perlu mencari seseorang yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mana-mana persatuan negeri atau kelab yang mengambil bahagian," katanya dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, Jumaat.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi taklimat kepada Tunku Ismail mengenai FAM. 
Selain itu, ia turut membincangkan pelantikan beliau sebagai Presiden FAM, Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres FMLLP.

"Saya akan menanti pertemuan sekali lagi dengan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Norza sebelum membuat sebarang keputusan (mengenai jawatan Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres FMLLP)," katanya.

Mengenai spekulasi rombakan besar-besaran dalam FAM, beliau berpendapat presiden dan anggota Exco FAM mesti digugurkan dan anggota baharu perlu terdiri daripada mereka yang berupaya menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara.

"Jika mereka tidak mampu, maka mereka perlu berundur dan memberi laluan kepada orang yang berkebolehan.

"Ketelusan FAM dalam perancangan mereka amat diperlukan dan penyokong mesti dibenarkan sekali-sekala mengemukakan pertanyaan kepada FAM.

"Penyokong berhak mengetahui apa yang sedang berlaku dalam FAM dan segala matlamat serta hala tuju FAM untuk masa akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan pasukan kebangsaan menggunakan khidmat jurulatih luar negara dengan latar belakang, pencapaian dan rekod prestasi yang baik.

Katanya, jurulatih itu juga perlu dibenarkan membawa pasukannya sendiri dan melaksanakan apa juga yang telah dirancangkannya.

"Paling penting, beliau mesti diberi masa untuk membuat perubahan. FAM tidak begitu berkembang sejak 30 tahun yang lalu dan saya percaya kita perlu berikan masa secukupnya dan ruang yang diperlukan oleh jurulatih baru berkenaan," katanya. 

Selain itu, katanya, FAM juga perlu mengadakan mesyuarat Exco secara bergilir di setiap negeri manakala semua pasukan (Liga Malaysia) yang bertanding harus mempunyai program akar umbi, stadium dan pusat latihan sendiri yang akan diusahakan oleh kelab

Advertisement

Post a Comment

 
Top