pahangdaily pahangdaily Author
Title: Dr Aziz Bari: Melayu Di Dalam DAP Bukanlah Jenis "Melayu Tongkat"
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
Kempen politik murahan mengaitkan DAP sebagai musuh Melayu dan Islam muncul kembali dengan pelbagai gambaran buruk dan jahat yang sema...

Kempen politik murahan mengaitkan DAP sebagai musuh Melayu dan Islam muncul kembali dengan pelbagai gambaran buruk dan jahat yang semata-mata dicipta untuk menakut-nakutkan dan mejauhkan sokongan orang Melayu terhadap DAP.
Kempen fitnah yang bertali arus menyerang DAP itu dibuat seiring kemelut kepimpinan dan skandal kewangan terbesar yang membelenggu pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno melibatkan 1MDB dan individu MO1.
Menurut pakar undang-undang Dr. Abdul Aziz Bari, gambaran buruk terhadap DAP itu hanyalah sekadar persepsi yang ditanam oleh Umno dan media yang dikawal mereka.
Beliau berkata, kempen memburuk-burukkan DAP itu bukanlah baru dan telah dijalankan berpuluh-puluh tahun lamanya termasuk oleh agensi-agensi tertentu milik kerajaan.
“Ia (propaganda) dimasukkan secara halus di dalam sukatan pelajaran dan kursus oleh agensi tertentu seperti Biro Tata Negara (BTN).
“Perlu kita ingat dalam beberapa insiden MCA juga mempersoalkan isu-isu bangsa dan agama. Mereka malah pernah menuntut TPM kedua 30 tahun lalu. Bagaimanapun MCA dan Gerakan dilabel sebagai ‘Cina baik’ (kerana bekerjasama dalam BN),” kata Dr Aziz.
Beliau menegaskan bahawa DAP merupakan sebuah parti politik berdaftar yang menjunjung perlembagaan malah ia diulangi dalam dasar bersama gabungan pakatan oposisi sebelum ini.
“Adalah satu fitnah untuk mengatakan DAP anti Melayu dan Islam; sepatutnya ia boleh dibawa ke mahkamah,” ujarnya.
Dengan capaian media sosial secara meluas dan mudah, agenda perjuangan dan imej DAP semakin baik meski digasak secara berterusan oleh jentera dan tentera siber pro-BN.
Justeru, ia telah berjaya menarik minat sebahagian dari masyarakat Melayu khususnya golongan muda untuk menyertai dan aktif bersama DAP.
Menurut Dr. Aziz, ahli-ahli dari kalangan kaum Melayu yang menyertai DAP boleh memainkan peranan yang besar dalam membentuk mesyarakat Malaysia yang mampu keluar dari ‘tema-tema politik perkauman’ seperti yang dijaja Umno dan parti-parti yang bersekongkol dengan mereka selama ini.
“Mereka (ahli-ahli kaum Melayu) perlu menunjukkan bahawa mereka boleh ke depan tanpa diberi tongkat; satu budaya negatif yang ditanam dalam Umno.
“Mereka juga perlu selesa dengan tema-tema politik baru seperti akauntabiliti, ketelusan dan sama rata. Orang Melayu dalam DAP tidak harus terperangkap dan menari dengan tema perkauman dan agama sebagaimana Umno dan PAS.
“Mereka perlu menunjukkan imej progresif; mereka perlu menunjukkan imej Melayu yang berbeza dari Umno dan PAS,” tegas bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu.
Sertai DAP langkah berani, mendahului masa
Komited mengangkat perjuangan DAP yang menekankan konsep keadilan dan kebebasan, Dr. Aziz yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor mengingatkan penyertaan kaum Melayu ke dalam DAP tidak semestinya memberi kelebihan.
“Saya lebih melihat penyertaan Melayu dalam DAP sebagai satu langkah berani; langkah menentang arus. Sesuatu yang mendahului masa.
“Saya melihat penyertaan Melayu dalam DAP sebagai usaha untuk menambahkan pilihan dan alternatif kepada parti-parti yang sedia ada,” jelas beliau.
Katanya, kedudukan kaum Melayu telah diabaikan sejak sekian lama oleh Umno manakala PAS yang kononnya turut memperjuangkan ‘agenda Melayu-Islam’ itu mengambil sikap menyebelahi Umno.
“Mereka gagal membela nasib orang-orang Melayu.
“Namun, sikap dan budaya politik DAP yang sama rata dan telus boleh memberi harapan kepada orang Melayu khususnya generasi muda yang telah muak dengan politik rasis, politik korup dan politik lama yang tidak memberi ruang kepada demokrasi, ketelusan dan seumpamanya,” tegas Dr. Aziz.
DAP mangsa ‘kambing hitam’ dakyah jahat Umno
Bagaimanapun, agenda ‘Malaysian Malaysia’ atau ‘Malaysia untuk Rakyat Malaysia’ yang mengangkat agenda keadilan, kebebasan dan kesaksamaan seperti yang diperjuangkan DAP selama ini sering menjadi mangsa ‘kambing hitam’ dakyah jahat Umno untuk memusnahkan DAP.
“Ini pun satu kempen negatif. Pada hakikatnya Malaysian Malaysia ini tidak banyak berbeza dengan konsep bangsa Malaysia yang Umno promosikan pada tahun-tahun 1990an.
“Bahkan kita boleh mengatakan bahawa Umno – dengan konsep itu – telah meniru apa yang DAP mulakan. Gagasan atau gimik 1Malaysia juga ada ciri-ciri Malaysian Malaysia,” jelas Dr. Aziz.
Menegaskan kenyataannya, beliau mengingatkan bahawa intisari Malaysian Malaysia telah wujud dalam perisytiharan kemerdekaan dan tidak bertentangan dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Ditanya pandanganya terhadap perkembangan politik semasa melibatkan gerakan yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menubuhkan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), beliau berkata kewujudan parti tersebut penting untuk menumbangkan Umno.
“Kemunculan Bersatu dalam politik Malaysia perlu dilihat dalam konteks dan senario politik semasa; khususnya skandal 1MDB dan lain-lain sekarang.
“Bersatu penting untuk menggoncang Umno yang memainkan politik agama dan rasis. Dominasi Umno ini perlu dipecahkan; begitu juga di Sabah dan Sarawak yang sehingga kini masih merupakan deposit tetap bagi Umno-BN.
“Saya fikir kemunculan dan peranan Bersatu perlu dilihat dalam landskap politik Malaysia yang berbeza dengan negara lain,” katanya lagi. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top