Sehubungan itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua masyarat Melayu khususnya ahli UMNO supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan usa­ha parti baharu berkenaan untuk menarik ahli-ahli UMNO.

“Memanglah apabila ditubuh parti baharu tujuan mereka hendak memecahbelahkan UMNO yang mana saya percaya PPBM seperti juga PAN menjadi alat kepada DAP untuk memecahbelahkan orang Melayu.

“Pas merupakan parti Islam 100 peratus dipecahkan melalui PAN supaya ahli Pas dapat memecahbelahkan Pas dan UMNO juga dipecahkan melalui PPBM dan saya percaya akhirnya semua ini akan menjadi proksi kepada DAP,”katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Korban Perdana Parlimen Bera di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, usaha memecahbelahkan parti yang didominasi orang Melayu khusus­nya UMNO dan Pas merupakan antara cara pihak tertentu mahu melemahkan orang Melayu.

Katanya, antara usaha melemahkan kedua-dua parti itu adalah dengan cuba menarik seramai mungkin ahli UMNO termasuk pemimpin-pemimpin parti berke­naan ke dalam parti baharu itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, berbeza de­ngan UMNO, PPBM dan PAN jelas tidak mempunyai asas perjuangan yang jelas sebaliknya ditubuhkan atas dasar tidak puas hati serta untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru katanya, beliau menaruh keyakinan ahli-ahli UMNO tidak akan terpengaruh dan akan terus setia kepada perjuangan parti keramat itu untuk membela rakyat dan membangunkan negara.

“Saya rasa kalau parti yang ditubuhkan bukan asas perjuang­an tetapi hanya atas dasar periba­di kerana perasan marah, saya percaya ahli UMNO tidak akan terpengaruh kepada parti yang tidak ada asas perjuangan demi masa depan orang Melayu dan rakyat Malaysia,”katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan dua veteran UMNO Johor iaitu bekas Pengerusi Tetap, UMNO Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanti keluar UMNO, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan UMNO.

Ujarnya, tindakan dua veteran UMNO berkenaan hanyalah kerana faktor dan hubungan peribadi mereka, ini kerana Tosrin Jarvanti merupakan bekas pegawai khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. #sumber