pahangdaily pahangdaily Author
Title: Keluarga Mangsa Buli Kecewa, Hasrat Untuk Pindah Kolej Terbantut
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Keluarga pelajar sebuah kolej di Muadzam Shah, Rompin yang menjadi mangsa buli mendakwa kecewa apabila hasrat memindahkan rem...

KUANTAN: Keluarga pelajar sebuah kolej di Muadzam Shah, Rompin yang menjadi mangsa buli mendakwa kecewa apabila hasrat memindahkan remaja itu berdepan kesulitan disebabkan prosedur ditetapkan pengurusan institusi pengajian terbabit.

Kakak mangsa, Marzita Mat Zin, 34, mendakwa, dia tidak berpuas hati dengan pihak kolej kerana cuba melengahkan proses pertukaran adiknya Mazrul Hakim Mat Zin, 16, walaupun mengetahui kejadian buli pada 3 September lalu itu.

Menurutnya, dia tidak memahami tindakan pihak kolej cuba menyulitkan urusan itu dengan meminta adiknya mendapatkan tandatangan semua guru yang mengajarnya walaupun sudah beberapa kali ahli keluarga cuba menyelesaikannya.

“Adik saya kini trauma sebab dipukul secara beramai-ramai dalam kejadian itu. Apabila dah jadi kes macam ini adik saya nak masuk ke kolej takut, macam mana dia nak dapatkan tandatangan semua guru.

“Saya tak faham mengapa pihak kolej tidak permudah prosedur proses pertukaran ini untuk kepentingan semua pihak kerana adik saya jelas jadi mangsa buli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sungai Soi di sini, semalam.

Menurutnya, ibunya, Salmah Salleh, 54 dan seorang lagi adiknya, Nor Mas Idayu, 24, sudah beberapa kali ke kolej itu bagi urusan pertukaran, tetapi gagal.

Marzita berkata, lebih mengecewakan apabila pengurusan kolej termasuk bahagian hal ehwal pelajarnya tidak mengambil berat kejadian menimpa adiknya.

Menurutnya, pengurusan kolej terbabit dirayu memudahkan urusan pertukaran dengan segera bagi membolehkan adiknya menyambung pengajian di sekolah aliran biasa.

Sementara itu, Mazrul Hakim mengakui dia masih trauma, takut dan enggan ke kolej kerana bimbang kejadian sama berulang.

Dia memaklumkan sudah tidak mahu bersekolah dan tinggal di asrama selepas kejadian dipukul enam penuntut kolej itu dalam bilik asrama, Sabtu lalu sehingga lebam di bahagian kaki, lengan dan belakang badan.

Menceritakan kejadian jam 10 malam itu, dia yang baru selesai solat Isyak dipanggil seorang pelajar tingkatan tiga sebelum dia dibawa ke bilik asrama kolej tersebut.

“Selepas naik ke asrama, saya dikepung enam pelajar lain dan mereka suruh saya supaya mengaku mencuri. Saya tak nak dan mereka terus pukul di kepala, muka, belakang dan kaki.

“Akibat dipukul, saya  mengalami sakit belakang dan segera menghubungi kakak sebelum buat laporan polis," katanya.

Mazrul Hakim membuat laporan di Balai Polis Rompin sejurus kejadian itu sebelum dia dimasukkan ke Hospital Rompin selama dua hari untuk dirawat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, susulan kejadian, pihaknya menahan enam pelajar yang disyaki membuli mangsa untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan, bagaimanapun kesemua mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes tersebut sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top