pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kepulangan Wira Paralimpik Rio 2016 "Di Sambut Meriah" Petang Tadi
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SEPANG: Hampir 1,000 rakyat Malaysia membanjiri Kompleks Bunga Raya, di sini, bagi menyambut kepulangan wira-wira negara daripada tema...

SEPANG: Hampir 1,000 rakyat Malaysia membanjiri Kompleks Bunga Raya, di sini, bagi menyambut kepulangan wira-wira negara daripada temasya Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016.
Kepulangan mereka sangat dinantikan susulan persembahan cemerlang dalam kejohanan yang bermula pada 7 September dan melabuhkan tirai, pada 18 September lalu.
Mereka yang dibawa pulang menaiki pesawat Airbus A380-800 penerbangan Fly Emirates dari Dubai ke Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 3.05 petang.
Ketibaan mereka disambut dengan kalungan bunga oleh pimpinnan negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara 100 meter T36 lelaki (cerebral palsy), lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran), lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dan lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran).
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menyumbangkan pingat emas bersejarah itu dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) selepas mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadamkan rekod Sukan Paralimpik 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing, pada 2008.
Selepas itu, pemenang pingat gangsa pada Sukan Paralimpik 2012 di London, Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lontaran 16.84m untuk pingat emas kedua negara.
Abdul Latif Romly meneruskan langkah cemerlang itu apabila meraih pingat emas ketiga Malaysia selepas memecahkan rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lompatan 7.60m.
Sementara, Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod baharu Sukan Para Asia menerusi lompatan sejauh 5.20m, mengatasi catatan rekod lama 5.10m.
Pencapaian tiga pingat emas dan satu gangsa itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-36 dalam kalangan 170 negara yang menyertai temasya Paralimpik Rio.
China mengungguli carta pungutan pingat dengan meraih 107 pingat emas, 81 perak dan 51 gangsa, diikuti Great Britain (64-39-44) dan Ukraine (41-37-39). #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top