pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kerajaan Negeri Pahang Arah Agih Projek Kepada Kontraktor Kecil !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN:  Kerajaan Negeri Pahang akan mengarahkan syarikat konsesi yang menerima tawaran kerja  membaiki jalan kampung di seluruh neger...

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan mengarahkan syarikat konsesi yang menerima tawaran kerja  membaiki jalan kampung di seluruh negeri Pahang supaya mengagihkan kerja berkenaan kepada kontraktor G1 dan G2 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada persatuan kontraktor kecil  di negeri mengenai isu berkenaan sehingga menyebabkan kontraktor kecil tiada projek.

Menurutnya, kerajaan negeri mengakui perkara itu memandangkan kira-kira lebih 2,000 kontraktor kecil terjejas dan tidak mendapat sebarang projek.

“Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa masalah ini akan diselesaikan secara baik apabila syarikat konsesi mengagihkan kerja berkenaan kepada kontraktor kecil.

“Kita akan melaksanakan proses undian dan dipersetujui oleh wakil persatuan kontraktor agar semua pihak berpuas hati,”katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Yayasan Pahang.

Adnan berkata, ada beberapa wakil kontraktor bertemu dengannya merayu agar perkara itu diselesaikan.

Tambah beliau, kerajaan negeri mengambil kira kebajikan kontraktor kecil yang terjejas sebelum mengambil keputusan berkenaan.

“Kita harap perkara ini selesai dengan baik dan kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Kontraktor yang bakal mendapat projek nanti diingatkan supaya menjalankan amanah yang diberikan dengan baik kerana prestasi mereka dipantau. Jika prestasi mereka tidak memuaskan, projek tidak akan diberikan pada tahun berikutnya,”katanya.

Adnan berkata, nilai keseluruhan projek penyelenggaraan jalan kampung itu berjumlah RM15 juta membabitkan 5,000 kilometer (km) jalan kampung di seluruh negeri.

Sebelum ini, banyak persatuan kontraktor di negeri ini tidak berpuas hati dengan penyerahan tawaran kerja penyelenggaraan jalan kampung kepada sebuah syarikat konsesi yang didakwa menutup periuk nasi mereka. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top