Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali (foto) mengulas mengenai kemalangan maut pada Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016) berkata, seramai empat pegawai MAM yang bertugas pada hari berkenaan adalah pegawai yang berpengalaman dan terlibat dengan Sepang International Circuit (SIC) sejak tahun 1999.

"Marshal yang terlibat pada perlumbaan hari itu juga diiktiraf. Sehubungan itu, dakwaan bahawa MAM tidak mempunyai kata putus berhubung aspek keselamatan adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, khususnya dalam situasi sekarang," katanya.

Razlan berkata demikian bagi mengulas dakwaan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bahawa MAM tidak mempunyai kata putus dalam aspek keselamatan, selepas berlaku kejadian dua beranak meninggal dunia pada EIMARace 2016 itu.

Pada kejadian 11.30 pagi Ahad lalu, penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaika, 5 tahun, meninggal dunia kerana dirempuh sebuah go-kart yang terbabas semasa mereka menonton perlumbaan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Kemalangan yang dipercayai berlaku selepas tiga kenderaan go-kart bergesel sesama sendiri turut menyebabkan isteri mangsa, Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, 7 tahun, cedera.

Razlan menambah, sejak ditubuhkan MAM telah berhadapan dengan beberapa kemalangan termasuk kematian pelumba dari Itali Marco Simoncelli pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) di SIC pada 2011, namun ini merupakan kejadian kali pertama melibatkan penonton.

"Apabila berlaku kemalangan melibatkan penonton, penganjur perlu membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan jika terdapat aspek kecuaian. Bagi pihak MAM, kita memberikan kerjasama kepada siasatan.

"Kita menghantar semua dokumen berkaitan seperti minit mesyuarat berkaitan perlumbaan dan butiran perkara yang dibangkitkan MAM seperti keselamatan dan penambahbaikan yang diperlukan," katanya. #sumber