Presiden WSFFM, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (foto) berkata, program riadah itu diibaratkan serampang dua mata untuk mendidik masyarakat dan pengunjung di situ mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kegiatan sukan.

Beliau berkata, penganjurannya juga bertujuan mempromosi serta mempopularkan Taman Negara Sungai Relau sebagai destinasi pelancongan dan pintu masuk kedua ke Taman Negara Pahang.

“MFR2016 mencapai matla­matnya apabila seramai 700 orang menyertai acara larian bagi kate­gori 12 hingga 25 kilometer yang secara langsung dapat me­nguji ketahanan mental dan fizikal menerusi trek berbukit-bukau.

“Peserta juga dapat menikmati keindahan Taman Negara Sungai Relau yang mempunyai lebih 500 gua batu kapur berusia lebih 250 juta tahun yang belum diterokai,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta MFR2016 baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Pe­ngarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim.


Shariffa Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, pihaknya berbangga dengan semangat ditunjukkan oleh semua peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat usia yang ke Taman Negara Relau bagi menyer­tai acara larian berke­naan.

Katanya, penganjuran MFR­2016 mendapat sokongan daripada Tourism Pahang sebagai rakan usaha sama dan kegiatan itu akan disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Pahang 2017.

“Acara larian ini dapat menggalakkan pelawat domestik dan pelancong asing berkunjung ke Sungai Relau yang juga menjadi pintu masuk bagi memulakan pendakian ke Gunung Tahan dan melawat santuari ikan kelah di Sungai Juram,” katanya. #sumber