pahangdaily pahangdaily Author
Title: Nahas Go-Kart: Penganjur Dakwa Dapat Permit Keselamatan MAM
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace) 2016 menafika...
KUANTAN: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace) 2016 menafikan pernah mengemukakan permohonan permit kepada Persatuan Automobil Malaysia (AAM).
Naib canselornya, Prof Datuk Wahid Omar berkata, permohonan untuk aspek keselamatan dikemukakan kepada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang berhak mengeluarkan permit keselamatan.
“Selama 9 tahun penganjuran, kita mendapat permit daripada MAM dan tidak pernah berurusan dengan pihak lain. Untuk tahun ini, kita juga memperoleh permit kerana tanpa permit keselamatan, perlumbaan tidak boleh diadakan.
“Semua aspek keselamatan sudah termasuk dalam permit dan diperiksa sebelum dan semasa perlumbaan berlangsung. Jika ada aspek keselamatan yang tidak dipenuhi, MAM boleh menarik balik permit pada bila-bila masa,” katanya ketika meninjau lokasi nahas yang meragut nyawa penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anak bongsunya Nur Zulaikha, 4.
Kemalangan yang dipercayai berpunca daripada pergeselan 3 go-kart itu turut menyebabkan isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, 7, cedera.
Turut meninjau kawasan kejadian ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur dan mereka mendengar taklimat kira-kira 15 minit daripada pengarah program, Prof Madya Aminudin Abu.
Hari ini, sebuah media tempatan melaporkan dakwaan AAM yang penganjur EIMARace 2016 meneruskan perlumbaan tanpa kelulusan, ekoran kos penyediaan aspek keselamatan yang tinggi.
Wahid berkata, wakil MAM juga berada di litar sepanjang perlumbaan itu berlangsung bagi meninjau aspek keselamatan, termasuk keselamatan jentera yang dipatuhi pihak penganjur.
“UTM akan membuat siasatan dalaman dan kejadian ini adalah pengajaran kepada kami dalam penganjuran acara berisiko pada masa depan,” katanya sambil menambah hasil siasatan itu akan diumumkan.
Berhubung pemilihan Jalan Sukpa di Indera Mahkota sebagai litar perlumbaan, Wahid berkata, saranan itu datang daripada kerajaan negeri dan pihaknya sudah meninjau kesesuaian jalan serta mendapat kelulusan MAM.
Terdahulu, Wahid dan Noorul Ainur meluangkan masa kira-kira 15 minit menziarahi Siti Suhaiza di kediamannya di Astana Permai untuk menyampaikan salam takziah dan sedikit sumbangan.
Mereka turut melawat Muhammad Izz Danial di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang kini dalam keadaan stabil dan dijaga emak saudaranya.
Pengarah HTAA, Datuk Dr Ardi Awang berkata, pemeriksaan CT Scan semalam terhadap kanak-kanak itu menunjukkan tiada kecederaan dalaman yang serius, termasuk tiada tulang patah.
“Cuma muka bengkak sedikit di bahagian pipi yang disebabkan kecederaan tisu lembut dan kelopak mata juga agak membengkak yang mana selepas ini kanak-kanak tersebut akan menjalani pemeriksaan mata,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Dr Ardi berkata, pemeriksaan ultra sound ke atas Muhammad Izz Danial juga tidak menunjukkan sebarang kelainan dalam perutnya dan kesakitan dalam perut kanak-kanak itu sudah berkurangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kanak-kanak itu masih dalam pemantauan hospital dari semasa ke semasa. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top