pahangdaily pahangdaily Author
Title: PAS Lipis Gesa PAIP Atasi Segera Masalah Bekalan AIr Putus Di Tiga Institusi Pendidikan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LIPIS:  Pas Lipis meminta agensi kerajaan yang terlibat khasnya Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) agar memberi keutamaan dan men...

KUALA LIPIS: Pas Lipis meminta agensi kerajaan yang terlibat khasnya Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) agar memberi keutamaan dan menyegerakan tindakan bagi mengatasi masalah bekalan air di tiga institusi pendidikan di sini, serta beberapa kawasan kediaman di sekitarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Tugasan Khas dan Pusat Khidmat Masyarakat Pas Kawasan Lipis, Roslan Zainal (foto) berkata, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Lipis (SMKSL) dan Sekolah Kebangsaan Tempoyang (SKT) serta sebuah kompleks Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) yang berada di kawasan tinggi sering mengalami gangguan bekalan air.

Menurutnya, masalah bekalan air bersih difahamkan berlarutan sejak lebih 10 tahun di kawasan institusi pendidikan itu menyebabkan penghuninya mengalami kesulitan menguruskan rutin harian mereka.

“Difahamkan SMKSL paling teruk berdepan masalah bekalan air sejak pembukaannya pada 2001. Masalah bekalan air mengganggu sesi persekolahan dan  kehidupan pelajar yang tinggal di asrama.

“Ada pihak mendakwa projek telaga tiub yang dilaksanakan sebagai alternatif setahun lalu, gagal menyelesaikan masalah bekalan air berkemungkinan kerana kedudukan sekolah itu di kawasan agak tinggi,” katanya di sini, kelmarin.

Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan Pas negeri berkata, tinjauan Pas Lipis di KIP baru-baru ini mendapati masalah bekalan air di situ selesai berikutan sumber bekalan airnya diubah dari Loji Jelai ke Loji Bukit Betong.

Menurutnya, bagaimanapun difahamkan bekalan air kepada tiga institusi pendidikan tersebut masih dari Loji Jelai, yang mungkin tidak mampu menampung keperluan ekoran pertambahan penduduk dan kawasan kediaman di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan satu langkah jangka panjang yang lebih berkesan dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada sumber air dari Sungai Jelai dan Sungai Lipis.

“Kemarau melampau yang berlaku pada awal tahun ini menyaksikan kebergantungan bekalan air di dua sungai tersebut telah menjejaskan bekalan air terutama ke kawasan bandar Kuala Lipis yang sedang membangun.

“Kerajaan sewajarnya mengkaji kawasan sumber alternatif melalui pemuliharaan Empangan Jaleh, Empangan Terenggun, Empangan Bukit Sarang, dan beberapa bekas lombong di sekitar daerah ini serta penyediaan telaga tiub sebagai sumber air mapan,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top