pahangdaily pahangdaily Author
Title: Peneroka Berhimpun, Bantah Isu Pembayaran Hasil Sebulan Sekali
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JENGKA:  Kira-kira 30 peneroka di Jengka 11 di sini, berhimpun secara aman di Pejabat Pengurusan Felda Jengka kerana tidak bersetuju pemb...

JENGKA: Kira-kira 30 peneroka di Jengka 11 di sini, berhimpun secara aman di Pejabat Pengurusan Felda Jengka kerana tidak bersetuju pembayaran hasil yang dibuat hanya sebulan sekali, pada masa ini.

Perhimpunan itu turut disertai Ketua Peneroka, Abdul Aziz Rashidi; Ketua Umno Cawangan Jengka 11, Ahmad Bakar dan Aktar Apandi Pilus selaku generasi kedua bersama sebahagian peneroka yang menuntut beberapa penjelasan lain berkenaan pengurusan Felda.

Peneroka, Abd Rahman Mamat, 64, berkata, dia membantah kaedah pembayaran sekarang di mana peneroka yang mengusahakan sendiri ladang dan menjual hasil kepada Felda tidak mendapat bayaran mingguan seperti dijanjikan, sebaliknya menjadi sebulan sekali menyebabkan banyak tunggakan pembayaran hasil kepada mereka.

“Peneroka yang tanam sendiri dah jual hasil sawit kepada Felda, tetapi duit lambat dapat. Macam mana? Kami ibarat dianaktirikan pula sehingga menjejaskan ekonomi keluarga malah ada yang lumpuh ekonominya.

“Bayangkan kesusahan peneroka sekarang. Felda menjanjikan bayaran mingguan tetapi perkara itu tak berlaku. Apa yang berlaku ialah dibayar sebulan sekali. Lepas itu ditolak pula beberapa potongan lain,” katanya.

Mohammad Salleh, 64, pula berharap Felda menjawab isu itu secepat mungkin dengan memberikan perhatian serius kerana ia sudah berlaku dalam tempoh terlalu lama.

“Sampai bila lagi kami nak tunggu dan bersabar. Tak sempat nak pusing duit belanja. Tarikh pembayaran juga tidak seragam. Itu yang mengelirukan peneroka. Setiap minggu datang pejabat berharap dapat duit hasil. Hasil dah jual tapi duit tak ada.

"Apabila datang pejabat dan tak dapat duit, kami kecewa. Balik tangan kosong dan seperti mengecewakan seisi rumah. Nak guna duit mana bayar bil dan belanja dapur?,” katanya.

Sementara itu, Shahidan Ahmad, 65, berkata, sempena Hari Peneroka, dia berharap pihak berkaitan memberi perhatian terhadap keluh kesah warga peneroka, khususnya di Gugusan Felda. 

“Ekonomi peneroka sangat teruk sekarang. Pada usia emas, sepatutnya kami dah boleh rasa lega untuk terima duit hasil sawit. Tetapi nampaknya tidak.

"Ada peneroka yang terpaksa berniaga dan cari ikhtiar lain untuk cari pendapatan demi meneruskan kelangsungan hidup. Kasihanilah peneroka,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top