pahangdaily pahangdaily Author
Title: Persatuan Pemandu Teksi "Bidas" Tindakan KWAP Labur Dalam Uber
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) membidas cadangan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang dikatakan be...
PETALING JAYA: Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) membidas cadangan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang dikatakan berhasrat untuk menambah pelaburan dalam syarikat perkhidmatan kongsi kereta, Uber Technologies Inc.
Timbalan pengerusinya, Kamarudin Hussain berkata idea KWAP itu kurang bijak dan dilihat seperti bersubahat menentang perjuangan 100,000 pemandu teksi di negara ini yang menolak Uber dibenarkan beroperasi.
“Saya ingin memberi nasihat kepada Wan Kamaruzaman supaya membuat keputusan yang bijak dan ada sifat perikemanusiaan.
“Sebagai kumpulan dana persaraan kedua terbesar Malaysia, tolonglah jangan salah guna kuasa yang diamanahkan dengan membazirkan duit caruman ahli.
“Tindakan KWAP bukan saja menggalakkan pelanggaran undang-undang, sebaliknya dilihat menyokong usaha mereka menutup periuk nasi para pemandu teksi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Reuters yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai berkata kumpulan itu berminat melabur RM123 juta dalam “teknologi disruptif pertama” dalam “syarikat teknologi global dengan nilai pasaran melebihi AS$60 bilion”.
Wan Kamaruzaman bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat itu namun dua sumber yang tahu mengenai urus niaga itu berkata KWAP baru-baru ini melabur jumlah berkenaan dalam Uber.
“Jika KWAP berminat melabur dalam sektor teknologi dan berhasrat melahirkan pakar dalam bidang itu, ia harus mencari syarikat pelaburan yang bebas budaya penindasan dan halal, bukan seperti Uber yang secara terang mencabuli undang-undang negara dan menganiaya pemandu teksi,” katanya.
Kamarudin berkata PERS1M akan meneruskan usaha mempertahankan hak pemandu teksi yang ditindas sejak kewujudan perkhidmatan Uber dan GrabCar.
“Pada 26 September PERS1M akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mahu lihat sejauh mana keprihatinan beliau terhadap kebajikan kami,” katanya.
Kamarudin turut mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh membiarkan pihak berkenaan terus bebas walaupun melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Bila seseorang itu mempunyai kuasa namun membiarkan pihak tertentu melanggar undang-undang sebegitu lama mereka boleh disifatkan sebagai pengkhianat negara,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top