PM: Pemergian Haron Din, Negara Kehilangan Tokoh Ulama Islam


SHAH ALAM: Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama yang banyak berjasa kepada negara, demikian luah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik menerima berita pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Perdana Menteri berkata, beliau dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah. Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa dan amat saya hormati. Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi.


“Meskipun landasan politik kami berbeza, kami sama-sama inginkan perkara yang serupa, Malaysia negara Islam yang terus makmur dan sejahtera. Semoga roh Allahyarham Haron Din dikurniakan husnul khotimah dan mendapat syurga tertinggi ALLAH, Syurga Al-Jannah bersama para syuhada. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di Facebook, sebentar tadi.

Sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat.


“Merasai kesedihan pemergian Allahyarham Ustaz Haron Din ke rahmatullah. Semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hambaNYA yang soleh. Al-Fatihah,” tulisnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata, secara peribadi beliau sangat menghormati Allahyarham dari segi ilmu, perwatakan dan kepimpinannya.

“Satu kehilangan besar. Innalillahiwainnailaihirajiun. Negara kehilangan tokoh agama yang dihormati. Takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas Datuk Dr Haron Din. Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham disahkan telah meninggal dunia pagi ini pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]