pahangdaily pahangdaily Author
Title: Rumah "Agam" Di Felda Jengka 14, Tarik Perhatian Orang Ramai !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JENGKA: Siapa sangka di celah deretan kediaman peneroka di Felda Jengka 14, tersergam indah rumah agam tiga tingkat dengan dekorasi me...

JENGKA: Siapa sangka di celah deretan kediaman peneroka di Felda Jengka 14, tersergam indah rumah agam tiga tingkat dengan dekorasi mewah hiasan dari luar negara.

Bercirikan seni bina Perancis dan India, kediaman itu memukau setiap mata yang memandang.

Apa tidaknya, sekali pandang rumah milik ahli perniagaan, Mohd Rafi Ekramuddin, 43, itu seolah-olah binaan istana dalam kisah dongeng.

Bagi penduduk di tanah rancangan itu, ‘istana’ Mohd Rafi tidak asing buat mereka kerana menjadi tatapan mata setiap hari malah pemiliknya juga seorang yang disegani.

Ketika kunjungan media ke kediaman itu, penulis disambut mesra sebelum dibawa meninjau segenap kawasan rumah untuk melihat sendiri landskap dan berkongsi cerita seni rekaan serta hiasan dalamannya.

Minat seni bina unik

Menurut Mohd Rafi, idea seni bina rumahnya ilham daripada kubah Taj Mahal di India untuk anjung tingkat dua manakala dekorasi luaran adalah daripada kisah dongeng zaman kanak-kanak.

Kata bapa enam anak itu, dia suka melihat rumah yang berbumbung bentuk segitiga seperti istana zaman silam sehingga mencetuskan idea membina istananya yang berbumbung serupa.

“Rumah ni sebenarnya gabungan reka bentuk rumah di Perancis, Taj Mahal di India dan ada ciri-ciri rumah dalam kisah dongeng. Saya gabung semua itu untuk menyiapkannya,” katanya.

Mohd Rafi berkata, minat mendalam terhadap seni bina unik mendorongnya mengilhamkan sendiri reka bentuk binaan kediamannya sekeluarga meskipun tiada latar belakang dalam rekaan dalaman.

Beliau berkata, terdapat binaan balkoni tergantung di aras dua rumahnya dan bumbung berbentuk tajam sedikit inspirasi suntikan elemen cerita kartun Lion King.

“Segalanya ilham sendiri. Saya reka sendiri rumah ni hasil daripada apa yang saya suka tengok.

“Tidak lain dan tidak bukan, rumah ini adalah hadiah untuk isteri, Dalila Ahmad, 38, wanita pertama dan terakhir dalam hidup saya,” katanya.

Sempena nama bapa

Dibina di atas tanah seluas suku ekar, rumah 13 bilik itu dinamakan Dangau Ekram sempena nama bapanya dan perkataan dangau ibarat pondok di tepi sawah dalam dialek Kedah.

Menurutnya, binaan rumah itu seolah-olah berhubung antara setiap tingkat kerana ruangnya bersambung melalui lubang pada siling bagi membolehkan ruangan atas bersatu dengan ruangan bawah.

“Lubang tengah aras dua dan tiga diperincikan dengan hiasan lampu candelier bagi memperlihatkan hiasan yang sangat mewah. Saya sengaja buat lubang pada siling dengan menempatkan tangga pusing supaya orang yang duduk di bilik tingkat dua dan tiga tak rasa terasing, sunyi atau takut.

“Aras bawah menempatkan bilik saya dan isteri, bilik emak, dapur, ruang solat dan ruang tamu. Sementara aras dua adalah bilik anak-anak dan gym manakala aras tiga adalah bilik tetamu dan sebuah bilik karaoke,” katanya.

Rumah itu juga ternyata memberikan lebih keselesaan buat anak-anaknya, Puteri Nabila, 18; Nazrin Shah, 16; Amir Shah, 15; Imran Shah, 12; Roshan Shah, 7 dan Rezza Shah, setahun tujuh bulan.

Dapur berbentuk sfera

Apabila diteliti, binaan bahagian dapur yang terletak di tengah ruang rumah berbentuk sfera.

Mohd Rafi berkata, ia bertujuan memudahkan urusan isterinya untuk bergerak lebih cepat jika mahu mengambil atau meletakkan perkakas dan barangan dapur.

“Rumah dan dapur ini luas, jadi bila di dapur saya tak mahu isteri jalan jauh sangat untuk pergi dari satu rak ke satu rak. Saya bina bentuk sfera untuk memudahkan pergerakannya di dapur,” katanya.

Namun ternyata, ilham itu sangat signifikan dan menambahkan lagi keunikan rekaan dalaman  kediaman ini.

Anak jati Kampung Kemelung Sik Kedah ini bertemu jodoh dengan isterinya yang merupakan anak kelahiran Felda Jengka 14 sebelum mereka mengambil keputusan menetap di situ.

Hasil perniagaan diusahakan, Mohd Rafi kini memiliki lebih 20 rangkaian perniagaan dalam pelbagai bidang antaranya termasuk perhotelan, syarikat reka bentuk simen pasang siap dan kedai serbaneka. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top