Pengerusi Jawatankuasa Perwa­kilan Penduduk (JPP) Balok Makmur, Mohd. Noor Ibrahim berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan menimpa penduduk di situ.

Menurut beliau, bagaimanapun ke­banyakan rumah mengalami kerosakan teruk terutama di bahagian atap yang diterbangkan ribut.

“Bantuan segera telah dihulurkan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa.

“Buat sementara waktu, kese­mua mangsa menumpang di rumah saudara dan jiran ma­sing-masing termasuk bilik gerakan UMNO.

“Agensi kerajaan seperti Ja­batan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah menjalankan tanggungjawab masing-ma­sing,” katanya.

Kejadian tersebut mendapat perhatian daripada Ketua UMNO Ba­hagian Indera Kota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid yang turut melawat mangsa dan menghulurkan bantuan.
Menurut beliau, pihak­nya menyerahkan bantuan wang tunai bagi meringankan beban keluarga terbabit.

“Kita memberikan bantuan segera daripada tabung kecemasan Umno Bahagian Indera Mahkota dan jumlah bantuan berdasarkan kepada kerosakan rumah,” jelasnya.

Sementara itu seorang mangsa, Nadia Shamsuddin, 32, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka hujan lebat beserta ribut yang berlaku kira-kira pukul 11 malam telah merosakkan sebahagian rumahnya di Balok Makmur di sini semalam.

Ibu kepada tiga anak berusia antara tiga dan sembilan tahun itu hanya mampu memeluk anak-anaknya dan berdoa agar mereka selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Saya tinggal bersama ibu dan ayah. Ketika kejadian, ibu saya, Juariah Abdul Rashid, 65, dan ayah, Shamsuddin Abdullah, 69, sedang berehat di dalam bilik ke­rana tidak sihat.

“Keadaan berlaku dengan cepat apabila saya terdengar bunyi atap tercabut di bahagian bilik ibu. Ketika itu saya peluk semua anak-anak. Selepas keadaan sedikit reda, saya keluar untuk melihat keadaan ibu dan ayah,” katanya. #sumber