pahangdaily pahangdaily Author
Title: Skuad Tok Gajah Hidupkan Peluang Kekal Dalam Liga Super 2016
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Gol jaringan Matthew Davies pada separuh masa pertama permainan sudah cukup untuk menghidupkan peluang Pahang kekal dalam sain...

KUANTAN: Gol jaringan Matthew Davies pada separuh masa pertama permainan sudah cukup untuk menghidupkan peluang Pahang kekal dalam saingan Liga Super 2016. 3 mata hasil kemenangan tipis ini berjaya mengeluarkan Pahang dari zon relagasi dan penentuan penyingkiran hanya akan ditentukan pada 22 Oktober nanti.

Pahang memulakan aksi separuh masa pertama dengan banyak mengatur asakan ke kubu pelawat menerusi gandingan Shayesteh dan Vranjican. Serangan pada minit ke 9 hampir membuahkan hasil apabila percubaan Shayesteh ditampan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani.

Skuad tuan rumah akhirnya mendahului pada minit ke 13 melalui Matthew Davies yang menyudahkan sepakan sudut Shayesteh. Pulau Pinang cuba bangkit menerusi satu serangan balas pada minit ke 21 melalui hantaran lintang Fitri Omar yang menggegar palang gol Pahang.

Pulau Pinang sekali lagi mencemaskan penyokong tuan rumah apabila rembatan bekas pemain terbaik Liga India, Ranti Martins Soleye hampir mencecah gawang namun berjaya diselamatkan Helmi Eliza.

Pahang berjaya menyerap asakan Pulau Pinang dan berjaya mengimbangi kembali rentak perlawanan dan kedudukan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Pahang memulakan serangan dan Davies nyaris menambah gol kedua peribadi melalui tandukan hasil hantaran Zuhair Aizat namun terus kedakapan Sani Anuar. Aizat yang masuk menggantikan Mohd Faizal Abdul Rani sekali lagi memainkan peranan apabila hantaran lintangnya pada minit ke 60 berjaya ditanduk Vranjican namun terus ke dakapan Sani.

Pulau Pinang menggandakan asakan dan hampir memperolehi gol penyamaan melalui Jeong Seok Min pada minit ke 61 tetapi berjaya diselamatkan Helmi. Seok Min sekali lagi hampir memecah kebuntuan pada minit ke 73 namun rembatannya sedikit tersasar dari pintu gol.

Pulau Pinang terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Farisham Ismail dilayangkan kad merah akibat mengasari pemain Pahang pada minit ke 88. Selepas itu, Jailton Dos Santos muncul wira Pahang selepas berjaya menyelamatkan percubaan Mohd Jafri Chew dalam kotak penalti tatkala Helmi Eliza sudahpun meninggalkan gawangnya pada masa kecederaan.

Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan dengan Pahang FC menghidupkan peluang untuk kekal dalam Liga Super pada tahun hadapan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top