pahangdaily pahangdaily Author
Title: Apa "Jaminan" Akta Perbelanjaan Politik Tak Akan Di Salah Guna BN ?
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) yang dicadangkan baru-baru ini dikhuatiri mempunyai kelompangan yang akan m...

KUALA LUMPUR: Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) yang dicadangkan baru-baru ini dikhuatiri mempunyai kelompangan yang akan membenarkan kerajaan Barisan Nasional menguatkuasakan ‘pelaksanaan terpilih’ terhadap parti-parti pembangkang

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming (foto) berkata demikian sebagai mengulas cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk mewujudkan Pejabat Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

“Parti dan ahli politik harus melaporkan pembiayaan politik mereka kepada badan pengawal itu yang juga berkuasa menjalankan audit ke atas akaun.

“Malah, badan pengawal berkenaan mempunyai kuasa untuk merampas pembiayaan jika ia disyaki datang dari sumber yang ‘diragui’,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kian Ming, rakyat Malaysia sudah melihat bagaimana pelbagai institusi yang sepatutnya bebas telah didakwa bekerjasama dengan parti pemerintah untuk memihak kepada mereka.

“Bukti paling jelas adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru-baru ini membuat cadangan persempadanan semula yang berat sebelah dan memihak kepada BN.

“Kita tidak dapat jamin bahawa badan pengawal itu tidak mengikut telunjuk BN selepas mereka ditekan oleh pihak-pihak tertentu,” tegasnya.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa JKNMPP yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low mengemukakan 32 cadangan bagi menangani isu melibatkan pembiayaan politik.

Ia termasuklah menggubal PDEA dan menubuhkan Pejabat Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Mengulas lanjut, Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata terdapat juga kebimbangan bahawa BN mungkin mengubahsuai cadangan jawatankuasa perundingan itu dan membolehkan pegawai mengharamkan parti-parti politik dari menyertai pilihan raya.

Pengharaman itu, ujarnya, boleh dikuatkuasakan jika satu cawangan dalam parti tidak mematuhi peraturan melibatkan pendedahan pembiayaan politik.

“Badan pengawal boleh ditekan untuk menyalahgunakan kuasa dan mensasarkan parti-parti politik pembangkang,” katanya.

Kian Ming menambah, walaupun JKNMPP menyatakan akan memastikan beberapa langkah diambil bagi mengelakkan jenayah diskriminasi atau penganiayaan penderma, ia mungkin akan diabaikan oleh BN.

“Kita boleh lihat contoh sebelum ini bagaimana undang-undang yang sepatutnya menjadi ‘baik untuk demokrasi dan aktiviti politik’ akhirnya telah disalahguna seperti Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Siapa boleh jamin bahawa PDEA tidak akan disalahguna dengan cara yang sama?” soalnya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top