pahangdaily pahangdaily Author
Title: Azimah Rahim: Guna Ular Untuk Takutkan Pelajar Ialah Penderaan !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Kumpulan bertindak ibu bapa menyifatkan tindakan mencampak ular dalam kolam yang direntasi peserta bina jati diri sebaga...
PETALING JAYA: Kumpulan bertindak ibu bapa menyifatkan tindakan mencampak ular dalam kolam yang direntasi peserta bina jati diri sebagai suatu penderaan.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (Page) Datin Azimah Rahim (foto) terkejut sekiranya ia sebahagian daripada prosedur normal modul bina jati diri.
“Kamu mahu kanak-kanak itu terjun ke dalam kolam tetapi kamu campak ular, dan kemudian kamu tembak mereka dengan hos air bila mereka cuba panjat tebing. Kamu sengaja menyusahkan mereka. Ini penderaan kanak-kanak,” kata Azimah ketika dihubungi.
Video viral yang dilaporkan berlaku di Kuala Kangsar mengundang amarah ‘netizen’ apabila melihat sekumpulan murid perempuan yang dipaksa meredah kolam air berselut seterusnya dicampak sesuatu menyerupai ular ke dalam kolam.
Mereka turut ditembak dengan pancutan air dan disergah supaya memberanikan diri.
Azimah mengesyaki program itu dikendali pihak ketiga.
“Melihat kepada video berkenaan, saya tidak rasa mereka adalah guru. Pemerhatian saya, ini merupakan kem yang dianjur oleh pihak ketiga bukan dikendali oleh sekolah itu sendiri,” katanya.
Beliau hairan kerana tiada seorang guru berhampiran menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Jika saya merupakan ibu bapa kepada salah seorang pelajar yang berada di dalam kolam itu, sudah tentu saya akan marah. Dalam hal ini, suara mereka mungkin tidak didengari dan kita bertanggungjawab dalam menyampaikan pesan bahawa perbuatan itu adalah sama sekali salah,” katanya.
Azimah berpendapat ia mungkin boleh diterima sekiranya elemen itu diperkenalkan untuk peserta sekolah menengah, namun bukan untuk murid sekolah rendah lebih-lebih lagi melibatkan pelajar perempuan.
Dalam pada itu Kolonel Angkatan Pertahanan Awam (PA) Perak Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman amat musykil dengan pendekatan pihak pengurusan kem itu.
Beliau menjelaskan tujuan program bina jati diri antara lain untuk mengukur tahap kerja, kerjasama dalam kumpulan dan pematuhan arahan seperti yang dipohon.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah menjalankan modul latihan untuk membina jati diri murid dan pelajar lebih daripada 10 siri sejak 3 tahun lalu namun kejadian pengunaan ular pada program itu adalah pertama kali berlaku,” katanya.
APM serta merta menggantung modul yang digunakan bagi menyiasat pelanggaran tatacara pengendalian piawai (SOP).
“APM melarang sama sekali anggota bermain ular atau membuat pertunjukan permainan ular,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun semua peserta berada dalam keadaan sihat serta selamat beliau amat berduka cita mengenai kejadian berkenaan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top