pahangdaily pahangdaily Author
Title: Garis Kemiskinan Terlalu Rendah, Kerajaan Cuba Manipulasi Fakta Sebenar
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
IPOH: Jumlah rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan sebenarnya adalah  jauh lebih besar daripada statistik yang dikeluarkan oleh ke...

IPOH: Jumlah rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan sebenarnya adalah  jauh lebih besar daripada statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Ini kerana tetapan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang terlalu rendah menyebabkan peratus kadar kemiskinan negara juga rendah, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V.Sivakumar (foto).

“Ini dilakukan semata-mata untuk memberi imej yang positif kepada pemerintahan Barisan Nasional.

“Tetapi hakikatnya, jumlah rakyat yang hidup dalam belenggu kemiskinan adalah jauh lebih besar daripada peratusan yang ditunjukkan oleh kerajaan,” kata beliau.

Menurut Siva, nilai PGK diperoleh melalui kos bagi setiap item makanan dan bukan makanan yang terpilih dan kemudiannya diselaraskan dengan harga barangan dan perkhidmatan semasa mengikut lokaliti.

“Pada tahun 2014, PGK nasional adalah RM950 sebulan. Nilai PGK ini adalah terlalu rendah dan langsung tidak realistik. RM950 inilah dijadikan sebagai nilai PGK untuk mengukur kadar kemiskinan isi rumah di negara kita,” kata beliau.

Berdasarkan statistik yang diberikan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan di Malaysia mengikut etnik adalah seperti berikut: Bumiputra (0.8%), Cina (0.1%), India (0.6%) dan lain-lain (0.9%). Kadar kemiskinan isi rumah bagi kawasan bandar pula ialah 0.3% manakala kawasan luar bandar iaitu 1.6%.

Negeri yang mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi ialah negeri Kelantan dan Sarawak masing-masing sebanyak 0.9% diikuti oleh Perak dan Pahang 0.7%, Wilayah Persekutuan dan Johor pula menunjukkan nilai 0.0% kadar kemiskinan. Manakala bagi Kuala Lumpur dan Melaka, kadar kemiskinan yang dicatatkan hanyalah 0.1%.

“Adakah angka-angka ini logik dan realistik? Bagi Wilayah Persekutuan dan Johor langsung tiada yang dikategori miskin. Adakah ia bermaksud tidak ada orang miskin di kedua-dua tempat itu?” soalnya.

Justeru, beliau menggesa supaya paras PGK dikaji semula agar rakyat Malaysia dapat mengetahui kedudukan makro-ekonomi negara yang sebenar.

“Pada hari ini, sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan harus dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menentukan kadar kemiskinan negara.

“Selain daripada itu, faktor lokaliti dan ekonomi persekitaran juga perlu diambil kira dalam merumuskan PGK baru untuk negara kita,” jelas Siva.

Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia sedang dalam proses memperolehi perangkaan terbaru melibatkan kadar kemiskinan negara ini dan statistik terbaru itu dijangka dapat dikeluarkan pada tahun 2017.

“Dengan adanya maklumat terkini nanti, kerajaan tidak boleh memberi alasan dan berdolak-dalik dalam soal kemiskinan. Kerajaan harus mengkaji semula nilai PGK dan memerangi isu kemiskinan dengan berani,” gesa Siva.

Advertisement

Post a Comment

 
Top