pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isu Status Hak Milik Tanah, Wakil Penduduk Serah Memorandum Kepada MB
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Penduduk, petani dan peniaga kecil di Cameron Highlands menyerahkan  memorandum kepada kerajaan negeri semalam agar kemelut di...

KUANTAN: Penduduk, petani dan peniaga kecil di Cameron Highlands menyerahkan  memorandum kepada kerajaan negeri semalam agar kemelut dihadapi mereka sejak sekian lama dapat diselesaikan.

Memorandum kali kedua selepas yang pertama pada Julai 2012 melalui Jawatankuasa Tanah, Rumah dan Gerai (JTRG) itu menuntut kerajaan negeri mengatasi masalah mereka membabitkan status hak milik tanah.

Memorandum  diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Ahmad Jaafar dan Datuk R Goonasakaren di Wisma Seri Pahang, di sini, semalam.

Pengerusi JTRG, R Velusamy, 61, berkata, mereka buntu selepas kemelut dihadapi masih belum selesai.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan kerja-kerja berkaitan tanah yang dimiliki tidak dapat dilakukan berikutan masalah status tanah yang dihadapi.

“Sebelum ini menteri besar (Adnan) berjanji untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi setakat ini hanya satu kes berjaya diselesaikan manakala 12 lagi masih belum diatasi,” katanya.

Dia yang mengusahakan pertanian  sejak 40 tahun lalu tidak memiliki hak milik tanah di Blue Valley walaupun telah memohon  bersama 34 penduduk lain.

Dalam memorandum tersebut, JTRG meminta menteri besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan kerajaan negeri memberikan kelulusan hak milik  kepada penduduk di Cameron Highlands yang terlibat.

Ketiadaan hak milik menyebabkan  tanah mereka dizon sebagai hutan dalam Draf Rancangan Tempatan Cameron Highlands 2030,  walaupun kebun terbabit sudah wujud sejak puluhan tahun lalu.

Dalam waktu sama, satu lagi memorandum daripada Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman Perdana Raya, Karak turut diserahkan menuntut kerajaan negeri menarik balik hak milik tanah yang diberikan kepada pemaju perumahan tersebut.

Pengerusi jawatankuasa itu, K Krishnan, 51, berkata,  projek perumahan  24 unit pangsapuri berharga RM63,600 yang sepatutnya siap pada 2007 tidak dapat diduduki dan terbengkalai 12 tahun.

“Saya dah bayar kepada bank sebanyak RM35,000 setakat ini dan masih perlu bayar ansuran bulanan kepada bank.

“Masalah ini pernah diadukan kepada kerajaan negeri termasuk kepada Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai namun tak selesai," katanya.

Dalam pada itu Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Cameron Highlands, B Suresh Kumar meminta kerajaan negeri agar segera memulakan proses hak milik tanah kepada penduduk terlibat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh pula berkata, penyerahan memorandum oleh wakil penduduk itu berlaku dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden di luar kawalan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top