pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isu Teroka Hutan Simpan Lakum, Pemilik Dakwa Tak Langgar Syarat
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
TEMERLOH : Pemilik kem motivasi dan rekreasi Gandah Forest Park Resources yang memajukan Hutan Simpan Lakum bersebelahan Pusat Konserva...

TEMERLOH: Pemilik kem motivasi dan rekreasi Gandah Forest Park Resources yang memajukan Hutan Simpan Lakum bersebelahan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah mendakwa tidak pernah melanggar syarat memajukan kawasan itu.

Pengarahnya, Syakirin Mazlan Mohamed berkata, beliau mengikut semua prosedur dan telah mempunyai kelulusan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Pahang untuk tujuan itu.

Malah katanya, segala bayaran kelulusan bagi mendapatkan kebenaran sewa permit untuk penubuhan kawasan rekreasi di situ sudah dibuat kepada kerajaan negeri.

“Saya mendapat surat kelulusan daripada ahli Exco Pahang, Pengarah Perhutanan negeri, Penolong Akauntan dan juga Pegawai Hutan Daerah bagi membangunkan kawasan ini.

“Saya bukan buat suka-suka dan proses permohonan bukan sekejap. Semuanya melalui prosedur biasa. Saya hanya ingin berniaga dan menambah tarikan pelancongan yang ada di Kuala Gandah.

“Gandah Forest Park berfungsi sebagai penyokong kepada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dengan menawarkan pelbagai aktiviti sukan lasak,” katanya,  semalam.

Syakirin berkata, dia juga tidak pernah melanggar syarat yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk memajukan kawasan Hutan Simpan Kekal Lakum.

Menurutnya, kawasan yang dimajukan hanya berkeluasan 3.38 hektar dan semua pokok besar di kawasan tersebut tidak ditebang.

“Sejak dibuka tujuh bulan lalu, kami terima sambutan menggalakkan daripada banyak pihak termasuk kolej pengajian, syarikat swasta dan jabatan kerajaan yang menghantar kakitangan mengadakan kem bina semangat di sini.

“Malah ada dalam kalangan yang membuat bantahan itu sendiri menggunakan kawasan rekreasi saya ini untuk aktiviti mereka. Sebelum ini ada dalam kalangan belia yang membantah itu memuji saya kerana membangunkan kawasan rekreasi ini. Sebab itu saya terkejut apabila mendapat tahu apa yang saya laburkan mendapat bantahan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung sepatutnya membuat bantahan pada peringkat awal lagi dan bukannya ketika pihaknya sudah membuat banyak pelaburan di situ.

Katanya, pihak yang membantah sepatutnya bersikap profesional dan berjumpa pihaknya terlebih dahulu sekiranya ada rasa tidak puas hati kerana perkara tersebut boleh diselesaikan dengan baik.

Tambahnya, Gandah Forest Park menawarkan pelbagai aktiviti antaranya menunggang ATV, berbasikal, menyumpit, menunggang kuda, karaoke dan memanah. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top