pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mahkamah Kekal Keputusan Tolak Saman Syarikat Lombong Di Raub
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PUTRAJAYA: Syarikat lombong emas, Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) hari ini gagal dalam rayuannya berhubung kes saman fitnah ...
PUTRAJAYA: Syarikat lombong emas, Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) hari ini gagal dalam rayuannya berhubung kes saman fitnah yang difailkan terhadap seorang penduduk Bukit Koman.
Panel 3 anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk David Wong Dak Wah memutuskan bahawa kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Hue Shieh Lee, yang juga naib presiden sebuah kumpulan aktivis, Jawatankuasa Tindakan Mengharamkan Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas di Raub, Pahang (BCAC) tidak bersifat fitnah.
Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman RAGM terhadap Hue dan memerintahkan syarikat itu membayar RM20,000 sebagai kos kepada Hue.
RAGM memfailkan saman terhadap Hue, menuntut ganti rugi berhubung dua artikel yang diterbitkan portal berita, Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada 2012.
Hakim Wong berkata bagi artikel pertama, Hue hanya melaksanakan tugasnya sebagai aktivis untuk membacakan hasil kajian masalah kesihatan penduduk pada sidang media itu.
Hakim itu berkata Hue seharusnya diberi pujian atas usaha tanggungjawab sosialnya, sambil menambah walaupun kumpulan aktivis itu diwujudkan untuk menjaga kebajikan penduduk, ia tidak bermakna mereka mempunyai lesen untuk menfitnah pihak lain.
Mengenai artikel kedua, Hakim Wong berkata hakim Mahkamah Tinggi adalah tepat ketika menyatakan bahawa RAGM harus membuktikan bahawa Hue sebenarnya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Datuk Kamardin Hashim.
RAGM memfailkan saman terhadap Hue, mendakwa perkataan yang dikeluarkan oleh Hue adalah tidak benar dan berdasarkan fakta yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dan syarikat lombong emas itu menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk bagi fitnah dan berniat jahat.
RAGM diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham manakala Hue diwakili peguam Jessica Ram Binwani, Theiva Lingam dan R. Ramitra. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top