pahangdaily pahangdaily Author
Title: Peguam "Dedah" Kos Mahkamah Yang Belum Dilunaskan Nasrudin
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
GEORGE TOWN: Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini diingatkan pula tentang bayaran kos untuk permohonannya mahu menge...

GEORGE TOWN: Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini diingatkan pula tentang bayaran kos untuk permohonannya mahu mengenepikan saman fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ditolak mahkamah pada 20 April tahun lalu sebanyak RM2,000.

“Peguam Ketua Menteri masih belum membuat tuntutan kos itu dari beliau. Pihak kami telah diberi arahan untuk menuntut bayaran tersebut secepat mungkin.

“Pihak kami juga mahu tekankan bahawa jumlah kos RM10,000 (dan RM2,000 yang akan dituntut kelak) akan diberi sepenuhnya kepada peguam Ketua Menteri,” jelas Pegawai khas undang-undang Guan Eng, Raja Syarafina Raja Shuib dalam satu kenyataan.

Lanjutan daripada kenyataan yang dikeluarkannya semalam, Raja Syarafina berkata Nasrudin sepatutnya membuat permohonan bagi melanjutkan tempoh bayaran kos mahkamah kepada Guan Eng jika beliau berada di luar negara sehingga akhir bulan lalu.

“Dalam zaman internet yang membolehkan komunikasi merentas sempadan negara dengan cepat, takkan susah sangat untuk YB Nasrudin maklumkan bahawa beliau perlukan masa untuk membayar?” soalnya sinis.

Menurut beliau, pihaknya tidak menerima apa-apa permohonan untuk lanjutan masa pembayaran daripada Nasrudin, sedangkan ia wajar dibuat jika beliau tidak mampu membayar kos itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian sebagai membalas dakwaan Nasrudin semalam bahawa bayaran kos mahkamah sebanyak RM10,000 kepada Guan Eng itu tidak dapat dibuat kerana berada di luar negara sehingga akhir September.

Menurut Raja Syarafina, penghakiman termeterai telah diserahkan kepada peguamcara Nasrudin pada 19 September lalu yang turut menuntut beliau membayar kos itu dalam masa 14 hari, iaitu sebelum 2 Oktober 2016.

“Memandangkan tiada bayaran diterima sebelum luputnya tempoh pada 2 Oktober, maka peringatan pembayaran telah dihantar pada 7 Oktober dan diterima oleh firma peguam Nasrudin pada 11 Oktober lalu.

“Bayaran itu masih tidak ada selepas tiga minggu tetapi beliau sebaliknya memilih untuk menyerang tindakan saya mengeluarkan kenyataan akhbar semalam,” ujarnya.

Kos RM500 tidak dituntut peguam Tantawi

Berhubung dakwaan Nasrudin bahawa Guan Eng gagal membayar RM500 kos yang diperintahkan oleh mahkamah pada 2014, Raja Syarafina berkata ia tidak dituntut oleh peguam Ahli Parlimen Temerloh itu sejak dua tahun lalu sehingga ke hari ini.

“Perintah berkenaan tidak pernah diserahkan kepada pihak kami. Surat terakhir daripada pihak kami kepada peguam beliau berhubung perkara ini adalah setakat 3 Oktober 2014.

“Selepas tarikh tersebut, tidak ada apa-apa tuntutan bayaran pernah dihantar,” jelasnya sambil menambah, Nasrudin seharusnya menyemak fakta yang betul sebelum mengetengahkan isu berkenaan.

Nasrudin dan Guan Eng sebelum ini bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah itu di luar mahkamah dengan terma-terma yang antara lain menuntut Nasrudin sebagai defenden membayar kos sebanyak RM10,000.

Beliau disaman ekoran memfitnah Setiausaha Agung DAP itu menganugerahkan projek pembinaan terowong dasar laut bernilai RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd secara rundingan terus. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top