pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pencemaran Bau Di Sungai Nyior, Penduduk Kini Masih Lagi Belum Selesa
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Penduduk sekitar Balok Baru, di sini, yang berdepan dengan pencemaran bau dari Sungai Nyior sudah boleh menarik nafas lega has...

KUANTAN: Penduduk sekitar Balok Baru, di sini, yang berdepan dengan pencemaran bau dari Sungai Nyior sudah boleh menarik nafas lega hasil tindakan kerajaan negeri membantu memasukkan kira-kira enam tan bebola lumpur yang bertindak sebagai agen pemulihan sungai.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Baru, Shaharuddin Mohamed, 46, berkata, sejak dua bulan lalu terdapat pengurangan bau kira-kira lebih 50 peratus.

“Dulu airnya kelabu kehitaman dan bau macam najis yang cukup meloyakan kira-kira 2,000 penduduk di sini.

“Tapi sejak usaha pemulihan sekitar Ogos lalu kini penduduk sudah boleh melakukan aktiviti di luar rumah walaupun masih tinggal saki-baki bau yang tidak menyenangkan.

“Sepatutnya tindakan diambil lebih awal memandangkan pencemaran sungai ini melibatkan jarak sehingga dua kilometer. Ia menjejaskan sumber pendapatan mereka yang bergantung kepada sungai Nyior dan Balok,” katanya.

Bagi Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, masyarakat mahu agensi berkaitan serius menangani pencemaran sungai tersebut secara berkala memandangkan ia masih mengundang ketidakselesaan penduduk setempat.

“Walaupun terdapat sedikit pemulihan setelah kami berdepan dengan permasalahan bau hampir enam bulan lalu... pihak Jabatan Alam Sekitar tidak memberikan sebarang maklumat yang khusus.

“Kami masih tertanya-tanya kenapa keadaan air tersebut berwarna hitam dan berbau hingga mengeluarkan bau meloyakan,” katanya.

Sementara itu, Adun Beserah, Andansura Rabu menggesa pihak yang bertanggungjawab mencari jalan terbaik untuk memulihkan pencemaran sungai bagi tempoh jangka panjang.

“Setakat ini usaha meletakkan bebola lumpur tersebut adalah untuk usaha pemulihan sementara sahaja dan bukan membendung agar pencemaran tidak berulang.

“Sekiranya pihak berwajib memerlukan bantuan daripada masyarakat setempat, mereka perlu memaklumkan kepada pihak kami sama ada penduduk atau industri berdekatan. Biar pemulihan dapat dilakukan sehingga sungai ini dapat kembali kepada rupa asal,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pertubuhan swasta untuk memasukkan bahan yang mengandungi mikroorganisma efektif (EM) ke dalam sungai berkenaan.

“Usaha dan tindakan tersebut dilihat berjaya menjernihkan sedikit warna air selain mengurangkan bau busuk.

“Kerajaan negeri bertindak bersandarkan pengalaman lalu yang mana Sungai Galing, di sini yang turut tercemar akibat pembuangan sisa telah berjaya dipulihkan dengan bantuan EM,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, katanya, masalah mendapan kotoran yang berlaku di Sungai Nyior, boleh diselesaikan dengan bantuan kaedah semula jadi menerusi aliran arus sungai yang akan mengalihkannya ke laut menjelang tengkujuh nanti.

“Pihak kami sedar masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan menghapuskan punca pencemaran dan kami telah pun mendapat gambaran berhubung punca sebenar kejadian ini,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top