pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penduduk "Bantah" Permohonan Pembalakan Di Lulus Di Kawasan Tadahan Air
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
BENTONG:  Kira-kira 100 penduduk daripada lima kampung di bawah Mukim Pelangai di sini, membantah permohonan kegiatan pembalakan di Hut...

BENTONG:  Kira-kira 100 penduduk daripada lima kampung di bawah Mukim Pelangai di sini, membantah permohonan kegiatan pembalakan di Hutan Sungai Gapoi yang didakwa bakal menjejaskan sumber tadahan air penduduk yang bergantung sepenuhnya di sungai dan loji Sungai Gapoi.

Penduduk turut meluahkan kebimbangan sekiranya permohonan itu diluluskan dan diteruskan, kawasan tadahan dan  sungai berhampiran akan menjadi surut dan  lebih kering.

Pengerusi Jawatankuasa kemajuan Dan keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Ulu Semie, Hihang Atong, 52, mendakwa kegiatan pembalakan yang akan dijalankan itu tidak mengikut prosedur yang dibenarkan berikutan ketiadaan sebarang papan tanda dipamerkan.

Menurutnya, penduduk berasa kesal atas tindakan kerajaan negeri yang memberi kelulusan kepada pihak tertentu untuk menjalankan kegiatan pembalakan itu yang didakwa bakal dijadikan hutan ladang.

"Kami melihat laluan menuju ke Hutan Sungai Gapoi itu sudah dibuat namun tidak melihat sebarang papan tanda dinaikkan.

"Tanpa sebarang papan tanda dinaikkan, kami menyifatkan ia sebagai satu kegiatan pembalakan haram,"katanya ketika ditemui.

Tambahnya, sekiranya permohonan itu diluluskan penduduk juga akan kehilangan sumber pendapatan daripada hasil hutan akibat kemusnahan kawasan hutan disebabkan pembalakan.

Penduduk Kampung Mancis, Lee Ah Kow,70 berkata, sekiranya permohonan kegiatan pembalakan itu diluluskan ia akan memudaratkan kesihatan generasi akan datang.

"Jika permohonan kegiatan pembalakan ini diluluskan, kawasan sungai  berhampiran akan tercemar kerana pokok sudah ditebang maka kesannya anak cucu kehilangan sumber air minuman bersih.

"Saya berharap sekiranya  kerajaan negeri mahu meluluskan permohonan pembalakan,  ia sepatutnya bukan berhampiran  kawasan tadahan air,"katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, bantahan dibuat berikutan penduduk tidak gembira kerana bimbang sumber air yang menjadi nadi utama mereka terjejas.

"Justeru, sama ada kegiatan pembalakan itu berlesen atau pun tidak kerajaan sepatutnya menghentikan kegiatan itu kerana kita sudah kehilangan banyak sumber air akibat pembalakan.

"Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri ada meminta agar kawasan tadahan air dijaga sebaiknya maka kita mohon agar kerajaan negeri hormat apa yang perdana menteri katakan seperti dalam ucapannya semasa pembentangan Bajet 2017,"katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top