pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penduduk Gusar, Gajah Liar Kini Berkeliaran Ketika Waktu Siang Hari !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JERANTUT: Bukan sahaja hidup dalam ketakutan, penduduk di Kampung Bukit Rang Dua, Pulau Tawar di sini kini berasakan mereka seperti tin...

JERANTUT: Bukan sahaja hidup dalam ketakutan, penduduk di Kampung Bukit Rang Dua, Pulau Tawar di sini kini berasakan mereka seperti tinggal di dalam zoo.

Semua itu gara-gara sekumpulan 13 ekor gajah liar yang mula berani berkeliaran pada waktu siang di kawasan perumahan mereka.

Seorang penduduk, Shukor Salleh, 54, berkata, kira-kira dua hari lalu sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di depan rumah mereka terlihat tiga ekor gajah liar lalu di belakang rumah seorang jirannya.

Menurutnya, ketika kejadian jam 6.15 petang itu, kanak-kanak terbabit terus lari masuk ke dalam rumah kerana ketakutan.

"Kejadian ini berlaku selama dua hari berturut-turut, iaitu pada Jumaat dan Sabtu lalu. Penduduk kampung ini mula diganggu gajah liar sejak Ogos lalu dan boleh dikatakan kerap.

"Seingat saya, kali terakhir kami diganggu gajah liar adalah sekitar 2013. Itu pun sekali sahaja haiwan liar itu masuk kampung. Selepas itu tiada lagi gangguan gajah liar," katanya.

Shukor berkata, sejak penghujung Ogos lalu, boleh dikatakan hampir setiap hari penduduk berdepan gangguan gajah liar.

Katanya, lebih membimbangkan, gajah liar terbabit kini tidak hanya berkeliaran pada sebelah malam, malah sudah mula kelihatan seawal jam 6 petang.

"Penduduk sudah tak berani keluar malam, tapi bila dapat tahu gajah liar mula keluar sejak petang, kami susah hati. Kadangkala kami dengar bunyi sekumpulan gajah buat bising bermula waktu Maghrib sehingga Subuh. Itu sudah cukup menggerunkan.

"Setakat ini penduduk hanya mampu halau gajah liar dengan bakar tayar di kawasan laluan haiwan itu. Tapi ikhtiar itu seperti tak berkesan dan saya sendiri pernah lihat gajah liar lalu di sebelah tayar dibakar tanpa rasa takut," katanya.

Dia berharap tindakan lebih berkesan dapat diambil oleh pihak berkaitan bagi menangani masalah itu.

"Jangan tunggu sampai ada nyawa melayang baru nak ambil tindakan. Kami tak peduli mengenai tanaman rosak kerana yang penting sekarang ini adalah keselamatan kami," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top