pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penduduk Kecewa, 30 Tahun Kena Menunggu Janji Bekalan Air Bersih !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LIPIS: "Dah 30 tahun kami bergantung hidup dengan bekalan air bukit dan dalam tempoh itu juga kami tunggu berita gembira untu...

KUALA LIPIS: "Dah 30 tahun kami bergantung hidup dengan bekalan air bukit dan dalam tempoh itu juga kami tunggu berita gembira untuk terima bekalan air bersih, tapi sampai sekarang janji hanya tinggal janji."

Itu merupakan keluhan penduduk Kampung Pagar Sasak, Rusnani Mat, 46, ketika menceritakan kesulitan dialami kira-kira 80 penduduk di kawasan berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bukit dari Sungai Jelutong, Kampung Bukit, di sini.

Menurutnya, penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membeli serta memasang gelung paip poli bagi menyambung punca mata air ke kediaman masing-masing.

"Bila hari hujan, tanah serta pasir dari atas bukit akan turun dan menimbus kolam takungan mata air. Keadaan itu menimbulkan kesukaran bagi penduduk untuk menjalani rutin harian mereka.

"Kami terpaksa daki bukit untuk pergi ke kawasan takungan mata air bagi membersihkan serta membuang tanah dan pasir. Kami terpaksa lakukan bagi memastikan air yang disalurkan ke rumah bersih dan tak berkeladak," katanya, semalam.

Rusnani turut memberitahu, bagi memastikan haiwan liar seperti babi hutan tidak mendekati dan minum air dekat kolam takungan, penduduk telah menutup permukaan kolam menggunakan jaring hitam.

Selain itu, Rusnani memaklumkan, dia turut mengambil langkah alternatif dengan membeli enjin serta gelung paip poli untuk menyedut air dari Sungai Tekal yang terletak kira-kira 300 meter dari kediamannya.

"Bagaimanapun usaha itu tak berjaya kerana tekanan air rendah dan kawasan rumah yang berbukit menyebabkan aliran air tidak sampai ke kediaman.

"Saya pernah gali perigi di belakang rumah untuk dapatkan bekalan air semasa kenduri tapi air bau busuk dan ahli keluarga kena penyakit kulit bila guna air perigi itu. Selain itu, pakaian dibasuh sering bertukar warna kerana air bukit berkeladak dan keruh," katanya.

Tempat babi berkubang

Penduduk menganggap permintaan untuk mendapatkan bekalan air bersih berasas berikutan kolam takungan mata air terlalu kotor, berkeladak dan tercemar.

Halimah Tan, 72, berkata, takungan air berkenaan pernah menjadi tempat haiwan liar seperti babi hutan berkubang, malah pernah berlaku kejadian babi hutan mati di tepi kolam tadahan.

"Kejadian bangkai babi hutan ditemui di tepi kolam tadahan berlaku pada bulan puasa. Masa tu makcik cuci pinggan tapi masih berminyak dan berbau hanyir, walaupun sudah dibasuh dengan sabun. Bau tangan pun rasa nak muntah.

"Makcik minta suami, Idris Mat Ali, 79, naik ke bukit untuk tengok ada bangkai haiwan atau tidak di situ. Tak lama selepas itu suami makcik balik dan beritahu ada bangkai babi hutan yang dah berulat di tepi kolam tadahan," katanya.

Menurut Halimah, suaminya telah meminta bantuan beberapa penduduk kampung untuk mengalih serta menanam bangkai babi hutan itu dan berikutan kejadian itu, dia sekeluarga tidak menggunakan air bukit berkenaan selama hampir tiga bulan.

Katanya, dalam tempoh tersebut, dia sekeluarga terpaksa mengeluarkan belanja untuk beli air mineral dan ahli keluarga lain berulang alik naik ke Bukit Tujuh untuk menadah serta mengambil air.

Mohon tindakan segera

Berikutan kesulitan dihadapi, penduduk berharap agar pihak berkaitan lebih cakna dan ambil tindakan susulan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk kampung.

Mustafa Ahmad, 54, berkata, walaupun sudah beberapa kali pilihan raya diadakan dan terdapat desas-desus mengatakan penduduk kampung bakal menikmati bekalan air bersih, namun sehingga kini tiada tindakan serius diambil.

"Dulu pernah ada usaha pasang batang paip ke kediaman penduduk tapi hanya sekerat jalan. Ibarat batang paip ada tapi airnya tiada.

"Kami sangat berharap agar agensi kerajaan berkenaan turun padang dan ambil tindakan sepatutnya bagi memastikan penduduk di sini tidak terpinggir serta dapat menikmati bekalan air bersih seperti kampung-kampung lain," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top