pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penganalisis Politik: Pahit Tapi Benar, Pembangkang Perlukan PAS
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Tiada pakatan pembangkang yang akan mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) tanpa penyertaan PAS, kata penganalisis polit...
PETALING JAYA: Tiada pakatan pembangkang yang akan mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) tanpa penyertaan PAS, kata penganalisis politik.
Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian bersetuju dengan bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim yang pembangkang perlu mengetepikan politik kaum dan agama.
Tetapi, mereka berkata Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan mampu mencapai kemenangan jika PAS tidak bersama mereka.
Dalam ucapannya pada Isnin, Zaid mendesak parti pembangkang untuk fokus kepada prinsip asas berbanding penyelesaian “pantas” dan katanya mereka patut mengeluarkan PAS daripada mana-mana pakatan pembangkang.
Sementara itu, Faisal berkata cadangan Zaid itu tidak realistik dalam konteks memenangi pilihan raya umum.
“Untuk menewaskan BN, anda perlu jadi alternatif kepada Umno, yang boleh memenuhi keperluan, dan anda perlu ingat keperluan itu berbeza mengikut tempat,” katanya kepada FMT.
Keperluan Melayu
Beliau berkata sebagai contoh keperluan masyarakat Melayu di selatan seperti Johor, berbeza dengan keperluan komuniti Melayu di pantai timur.
“Umno berdepan kepelbagaian dalam susah payahnya. Tidak ada parti boleh cabar dominasinya dalam kawasan Melayu, selain PAS,” katanya.
Katanya, cabaran pembangkang ialah membawa PAS kembali dalam pakatan pembangkang sementara mencapai kata sepakat apa yang perlu dibuat untuk maju ke depan, termasuk naratif yang hendak digunakan untuk pengundi Malaysia.
Ibrahim memberi pendapat yang hampir sama dan berkata Zaid perlu ingat yang PAS mungkin mempunyai sokongan besar dan ini bermakna parti pembangkang perlu berkompromi untuk memperbaiki peluang mereka menewaskan BN.
“Meskipun ahli politik perlu menegakkan prinsip, mereka juga perlu memasukkan prinsip itu dengan realiti.
“Kadangkala anda perlu bekerja dengan parti yang tidak setuju sepenuhnya dengan agenda anda tetapi boleh menyediakan kemenangan,” katanya.
Zaid berkata gabungan Pakatan Rakyat berpecah kerana ia tidak berdasarkan prinsip yang dikongsi bersama.
Beliau turut memberikan komen terhadap usaha Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa PAS ke meja rundingan bagi memastikan pertembungan 1 lawan 1 dengan BN.
“Idea mendapatkan 1 lawan 1 dilakukan oleh mereka yang mahu jadi perdana menteri.
“Apa yang mereka patut buat ialah merayu undi untuk pertandingan 1 lawan 1 berdasarkan kepada kepercayaan kesaksamaan dalam politik, tidak diskriminasi dan perjanjian untuk mempertahankan maruah semua rakyat Malaysia,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top