pahangdaily pahangdaily Author
Title: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) Ambil Alih Tanggungjawab MAM
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SHAH ALAM:  Persatuan Automobil Malaysia (AAM) memaklumkan pihaknya kini berperanan sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab melulu...

SHAH ALAM: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) memaklumkan pihaknya kini berperanan sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab meluluskan sebarang penganjuran acara sukan permotoran susulan penggantungan sementara Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Sabtu lalu.
Pengerusinya, Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha berkata, pihaknya mengambil alih tugas dan tanggungjawab MAM sehingga pihak berkuasa melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang acara melibatkan sukan permotoran perlu mendapatkan kelulusan daripada AAM. Buat masa ini, kami adalah badan yang bertanggungjawab dalam memberi kelulusan itu, bukan mereka (MAM). Kami berharap pihak penganjur dapat menghormati dan mematuhi arahan yang ditetapkan", katanya di sini.

Kenyataannya itu secara tidak langsung menepis kenyataan MAM yang mendakwa penggantungan sementara persatuan itu akan turut menjejaskan program di peringkat akar umbi, terutama apabila melibatkan perlumbaan KBS-MAM Kapcai Endurance yang diadakan setiap tahun.
Mengenai penggantungan MAM, tambah Mudzaffar, beliau memandang serius perkara ini dan tidak terfikir untuk menarik semula keputusan berkenaan.

"Kami (AAM) terpaksa mengambil tindakan terhadap mereka lebih-lebih lagi ia melibatkan badan yang bertanggungjawab dalam memastikan standard keselamatan dipenuhi. Oleh itu, kami terpaksa menggantung mereka (MAM) sebagai pengajaran untuk tidak bertindak sesuka hati dan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA)", katanya. 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu di Laman Seri Business Park, di sini pada Isnin.
Selain itu, Mudzaffar berkata, AAM sedia memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berhubung kemalangan yang melibatkan nyawa dua beranak yang terbunuh dalam Perlumbaan Inovasi Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016), Ahad lalu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top