pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isu Persempadanan Semula, AMK Mendakwa SPR Tidak Profesional
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik semula cadangan persempadanan semula bagi ...

KUANTAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik semula cadangan persempadanan semula bagi memastikan PRU14 dijalankan dengan lebih adil dan telus.

Ketuanya, Wong Chun Yuan berkata, pihaknya membantah perkara itu kerana kemungkinan wujudnya usaha untuk menyusun lokaliti pengundi bagi kepentingan pihak tertentu.

Menurutnya, beliau yakin cadangan persempadanan semula SPR hanya untuk memastikan kemenangan BN, khususnya Umno dalam PRU akan datang.

“Saya yakin persempadanan ini untuk memastikan keputusan berpihak kepada mereka (BN). Saya gesa SPR tarik cadangan tersebut dan tubuh satu Jawatankuasa Khas Parlimen bagi menyemak semula perkara tersebut.

“Penubuhan jawatankuasa tersebut mestilah dianggotai secara bersama Ahli Parlimen BN dan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Terdahulu, lebih 30 ahli AMK menghantar memorandum bantahan terhadap persempadanan semula dua kawasan Dun di Pahang selepas disyorkan SPR di Wisma Persekutuan, Jalan Gambut di sini, pada September lalu.

Dua daripada lapan pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Jengka 1 dan Sungai Jerik akan dimasukkan ke Dun Jengka, manakala enam lagi PDM iaitu Felda Ulu Jempol, Jengka 2, Jengka 3, Jengka 4, Jengka 5 dan Kampung Kuala Sentul akan diletakkan di bawah Dun Luit Parlimen Maran.

Sebagai ganti, kawasan Dun Kuala Sentul akan digantikan dengan Dun Jengka yang sebelum ini terletak di bawah kerusi Parlimen Kuala Krau.

Menurutnya, SPR juga digesa menjadi satu badan bebas dan segala tindakan dibuat, tidak dipengaruhi kerajaan pemerintah atau mana-mana parti politik.

Katanya, sekiranya suruhanjaya tersebut telus dalam melakukan tanggungjawab mereka, pihaknya percaya keputusan pilihan raya akan datang lebih adil kepada semua parti di negara ini.

Chun Yuan turut menyifatkan tindakan SPR yang membuat persempadanan semula secara selektif itu kelihatan tidak profesional dan tidak adil serta seolah-olah mahu mempertahankan kepentingan BN.

Katanya, persempadanan semula itu akan melibatkan pemindahan ratusan ribu pemilih dan ia akan memberikan kesan secara langsung dalam keputusan PRU14 nanti.

“Sebagai contoh di Dun Lanchang terdapat dua daerah mengundi (DM) iaitu Bukit Bendera dan Seri Layang telah dikeluarkan dari Dun Lanchang dan diserap masuk ke dalam Dun Mentakab.

“Kawasan Dun Luit dan Parlimen Pekan turut terlibat persempadanan semula bagi membolehkan parti kerajaan terus tadbir negara,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top