pahangdaily pahangdaily Author
Title: PKR Ingatkan, Jangan Guna Bajet ‘Umpan’ Rakyat Berbelanja Lebih
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: PKR mengingatkan kerajaan supaya menghindari langkah “mengumpan” rakyat berbelanja lebih menerusi Bajet 2017. Sim Tze ...
PETALING JAYA: PKR mengingatkan kerajaan supaya menghindari langkah “mengumpan” rakyat berbelanja lebih menerusi Bajet 2017.
Sim Tze Tzin bimbang dengan desas-desus kerajaan akan menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan pengguna berbelanja lebih, seperti potongan cukai eksais kepada pembeli kereta pertama dan pemaju menawarkan pinjaman untuk melonjakkan jualan rumah.
Beliau menyifatkan dasar itu berpandangan pendek dan akhirnya akan membebankan rakyat, selain berisiko mencetuskan krisis ekonomi dalam jangka panjang, kerana hutang isi keluarga di Malaysia sudah mencecah 89.1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada 2015.
“Kita harus mengambil iktibar daripada krisis subprima yang melanda Amerika Syarikat pada 2008. Krisis itu diakibatkan perbelanjaan dan pinjaman berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah strategi PKR itu berkata, kerajaan perlu menurunkan harga kereta secara menyeluruh untuk memanfaatkan semua rakyat, bukannya memperkenalkan dasar yang akan memutarbelitkan pasaran kereta.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, potongan cukai terhad kepada pembeli kereta pertama untuk tempoh 1 atau 2 tahun akan mewujudkan permintaan buatan yang menyebabkan pengguna tidak memerlukan kereta diumpan berbelanja dan terpaksa menanggung pinjaman.
Katanya, PKR mahu penurunan harga kereta selama-lamanya supaya rakyat tidak perlu risau tentang harga kereta dan mempunyai wang untuk tujuan lain seperti pendidikan, kesihatan dan makanan.
“Model ekonomi seperti ini lebih sihat berbanding rangsangan jangka pendek.”
Sim berkata, cadangan membenarkan pemaju memberi pinjaman kepada pembeli rumah juga tidak munasabah, kerana masalah sekarang ialah harga rumah melambung tinggi.
“Bank-bank kita mempunyai dana mencukupi untuk memberikan pinjaman perumahan, tetapi menolak banyak permohonan kerana enggan menanggung risiko tinggi, di mana pinjaman terlalu besar dijangka tidak mampu dibayar sesetengah pemohon.
“Sebaliknya, jika kita membina lebih banyak rumah mampu milik, pembeli rumah tidak akan menghadapi masalah pinjaman kerana pinjaman yang diperlukan lebih kecil, maka akan diluluskan bank,” katanya sambil menambah harga rumah di Singapura lebih murah berbanding Hong Kong, kerana 80% rumah rakyat dibina kerajaan.
“Perkara ini harus dikaji kerana di Malaysia, hampir semua rumah kita dimajukan pihak swasta dan ini menjadi salah satu faktor harga rumah mahal.”
Bajet 2017 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober ini. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top