pahangdaily pahangdaily Author
Title: Sultan Ibrahim Arah Wad Diraja Di Gunakan Untuk Merawat Pesakit !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) digunakan untuk merawat ...
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) digunakan untuk merawat pesakit berikutan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu hari ini.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata baginda turut menitahkan usaha membaik pulih hospital berkenaan dilakukan segera.
“Baginda turut meminta satu laporan penuh mengenai kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah yang mengorbankan 6 nyawa hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di HSA, di sini.
Wad Diraja HSA itu terletak di tingkat 4 sebelah timur bangunan HSA manakala wad ICU terletak di selatan tingkat dua hospital berkenaan.
Terdahulu, Khaled mengiringi Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris Shah yang berkenan melawat dan melihat sendiri HSA susulan kejadian kebakaran itu.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia, yang tiba di pekarangan hospital kira-kira 12.40 tengah hari, diberi taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Hajah Rooshaimi Merican dan kemudiannya dibawa melihat lokasi kejadian kebakaran.
Baginda berdua yang meluangkan masa kira-kira 30 minit itu, turut diiringi Khaled dan isterinya Datin Seri Rosni Omar serta barisan Exco kerajaan negeri.
Khaled berkata tragedi itu diambil sebagai iktibar kepada semua pihak dan pengajaran kemalangan boleh berlaku di mana-mana.
Katanya, daripada insiden itu mungkin ada perkara yang boleh dipelajari bagi mengelakkan ia berlaku lagi pada masa depan.
“Daripada taklimat diberi bomba, mangsa menggunakan alat pernafasan dan disebabkan itu, mereka tidak boleh bergerak ataupun berada dalam keadaan tidak sedar dan itu mungkin menjadi punca (kematian),” katanya.
Khaled berkata pihaknya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri untuk menjalankan siasatan.
Pada masa sama, beliau juga dimaklumkan bomba mengepung blok bangunan yang terbakar manakala bangunan lain diisytiharkan masih selamat.
Khaled turut mengumumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor akan menghulurkan RM100,000 sebagai bantuan kepada mangsa dan waris mangsa terlibat.
Dalam kejadian yang bermula 8.56 pagi itu, 6 pesakit, terdiri daripada 4 wanita dan 2 lelaki maut. Mereka adalah antara 7 pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.
Dua kakitangan HSA dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang lagi petugas dirawat di HSA akibat terhidu asap.
Operasi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa bermula pukul 9.05 pagi itu tamat sepenuhnya pada 11.25 pagi. #sumber

Advertisement

 
Top