pahangdaily pahangdaily Author
Title: Bersih Tak Boleh Di Persalahkan, Banyak Lagi Isu Lain Jejaskan Imej Negara
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Tunjuk perasaan Bersih tidak boleh dipersalahkan untuk imej negara yang tercemar dan rasa tidak yakin para pelabur, kata peng...

PETALING JAYA: Tunjuk perasaan Bersih tidak boleh dipersalahkan untuk imej negara yang tercemar dan rasa tidak yakin para pelabur, kata penganalisis dasar Wan Saiful Wan Jan.

Jelasnya isu lain, seperti 1Malaysia Developed Berhad (1MDB), menyumbang kepada imej negatif kerana hal ehwal 1MDB mengundang persoalan sama ada pelabur meyakini institusi negara.

Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi ditanya mengenai kesan tunjuk perasaan Bersih 5 dan Baju Merah kepada ekonomi negara.

Katanya: “Himpunan itu hanya sebahagian daripada gambaran yang lebih besar yang menyumbang kepada sentimen negatif pelabur. Malah saya berpendapat sekiranya kerajaan melihat Bersih dari segi positif, mereka boleh beritahu kepada pelabur bahawa demokrasi di negara ini semakin matang.”

Tambahnya, perarakan beri manfaat kepada peniaga tempatan, terutamanya mereka yang menjual makanan dan minuman kepada penunjuk perasaan.

Wan Saiful sukacita tiada kejadian tidak diingini berlaku hari ini yang menyaksikan perhimpunan serentak Bersih dan Baju Merah yang berlawanan.

Sebelum ini, penyokong kedua pihak bertembung dalam konvoi Bersih 5 seluruh negara.

Wan Saiful berasa seronok melihat manusia daripada pelbagai fahaman politik berbeza mampu berhimpun secara aman, kerana itulah demokrasi pada asasnya.

“Polis perlu dipuji kerana mengekalkan keamanan. Tidak ada kejadian ganas walaupun ada provokasi.”

Orang ramai bagaimanapun akan menghakimi polis berdasarkan kejadian sebelum ini, dan kejadian selepas perhimpunan.

Mengulas kehadiran yang lebih kecil, Wan Saiful berkata jumlah peserta tidak patut digunakan sebagai ukuran kejayaan satu-satu tunjuk perasaan.

“Matlamat tunjuk perasaan bukan berapa ramai yang turun tetapi hak mereka sebagai warganegara untuk berhimpun,” jelasnya.

Bersih 5 menarik kehadiran puluhan ribu manakala Baju Merah sekitar 3,000 orang.

Himpunan berlangsung secara aman, dengan beberapa insiden kecil antara peserta Bersih 5 dan Baju Merah. Umumnya, polis berjaya mengasingkan kedua pihak sepanjang hari.

Advertisement

Post a Comment

 
Top